Monday, 6 May 2013

.:Aku di Malaysia Bukan di Turki:.

Bismillahirahmaanirrahim,,,

Assalamualaikum wbt...

Syukur Alhamdulillah, terasa sangat lama tidak mengupdate blog ni, mungkin kerana kesibukan dengan tugasan kerja dan demam PRU-13, apa-apa pun insyaAllah, rasa bersemangat kembali untuk menulis apa yang terkandung dalam isi hati mungkin setakat dari malam semalam hingga sekarang. Isunya bukan mengenai pilihanraya, cuma ingin sekali rasanya saya luahkan mengenai bezanya penerimaan ilmu untuk umat Islam kita di Malaysia dan di Turki.

Baru sahaja menyelesaikan bacaan naskah Secangkir Teh Pengubat Letih karya Hasrizal Abdul Jamil yang berkisar mengenai travelog perjalanan hidup beliau di bumi Turki, bumi anbiya' dan para sahabat. InsyaAllah, bukan nak bagi ulasan tentang naskah tersebut cuma terasa ingin highlightkan beberapa perkara yang menarik perhatian saya dengan bab-bab tertentu dalam naskah tersebut. Antaranya:

Islam Popular, Islam Murahan

Anehkan, ada juga istilah Islam popular dan Islam murahan? Baiklah baca dan teliti betul-betul apa yang ingin saya tulis dan katakan. Keghairahan terhadap pengetahuan dan kemahuan yang tinggi untuk mencari jawapan tentang sesuatu perkara hingga ke akar umbi, seolah-olah sudah pudar dari ummah yang  pernah hebat dan bijak pandai ini. masing-masing terlalu cepat berpuas hati dengan khabar angin, hearsay yang tiada nilai pengetahuan, semuanya superficial. Sedangkan Allah swt sebut dalam al Quran:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."

(Al-Hujuraat ayat 6)

Itulah yang saya rasa berlaku dengan umat Islam sekarang terutamanya di Malaysia, terlalu mengambil mudah segala maklumat yang mereka dapat, terutamanya yang datang daripada media arus perdana. Berlainan jika kita lihat di Turki, budaya penterjemahan buku SANGAT aktif, seperti jua di Indonesia. Lihat sahaja di Istanbul, malah di tempat-tempat seperti Samsun dan Konya, aktiviti mencari ilmu begitu ghairah dilakukan, mungkin kerana tekanan luar biasa dari dalam dan luar terhadap Turki, namun pointnya disini, lihat betapa orang Turki sangat menghargai ilmu, bahkan diceritakan dalam naskah ini, apabila penulis menceritakan pengalamannya dengan seorang pakcik yang bekerja sebagai cleaner di Bolvadin yang tahu walaupun sedikit tentang Malaysia, siapa kenal Bolvadin, itulah antara tempat yang terpencil di Turki, namun kalaulah seorang pakcik tua bekerja sebagai seorang cleaner di situ pun ada maklumat semasa tentang hal luar negara apatah lagi jika orang mudanya. Lihat betapa uniknya Turki, dan betapa berbezanya budaya ilmu di Turki berbanding kita di Malaysia. Maafkan saya, bukan ingin memuji Turki melebih-lebih tetapi itulah antara hakikat yang perlu kita terima.

Berbanding dengan seorang Arab Jordan yang juga juga ditemui oleh penulis naskah, yang begitu mudah ditipu apabila penulis mengatakan bahawa Malaysia terletak di barat Palestin. Lucu bukan. Bukan jua saya disini bermaksud untuk merendah-rendahkan bangsa Arab, tetapi kesan hilangnya semangat pencarian dan menuntut ilmu dengan betul-betul dan diselidiki setiap maklumat yang ada begitu luntur dan pudar oleh umat Islam sekarang. 

Turki berIslam bukan dengan Islam murahan. Tahukah anda di Turki, khutbah Jumaatnya sungguh pendek, manakala aktiviti seperti kuliah Subuh dan kuliah Maghrib amat jarang ditemui. Di Turki tiada ustaz-ustaz, tidak ada penceramah bebas. jauh sekali ustaz-ustazah selebriti. Itulah kenyataannya di Turki. Saya melihat umat Islam di Malaysia, sememangnya sudah cukup beruntung dengan kuliah agama dalam media arus perdana, ceramah agama di setiap malam-malam minggu, terisi dengan makanan kerohanian buat kita. Alhamdulillah, namun, sedikit kekurangan apabila, segelintir daripada kita mengambil apa yang ditonton dalam kuliah agama di media arus perdana, apa yang didengari dalam ceramah-ceramah agama malam-malam minggu, tetapi seolah-olah masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Fenomena dengar, kemudian terima bulat-bulat pun ada dan bagi saya agak kurang sedap rasanya. Belum cukup mantap untuk kita sama-sama berusaha untuk menjadi yang terbaik. Sepatutnya bagi saya budaya dengar, teliti, kemudian buat kajian balik, dalami lagi mengenai sesuatu perkara itu, itulah yang terbaik bagi kita sebagai umat Islam. Biar percambahan ilmu itu ada.


Di Turki walaupun tiada ustaz-ustazah, namun dari mana mereka mendapatkan ilmu dan idea? Lihat, apa yang mencubit kehidupan mereka adalah artikel surat khabar dan ucapan-ucapan di televisyen, bukan kuliah Subuh atau kuliah maghrib. Sehinggakan orang Turki ni, apabila tibanya waktu siaran berita-berita di televisyen, tiada lagi sesuatu perkara pun yang mampu menganggu gugat perhatian mereka kepada penumpuan mereka kepada apa yang dilihat dan didengari, bahkan mereka amat beremosi jika mereka diganggu. Mereka sangat menghargai ilmu yang mereka dapat. Namun bagi saya, sayang di Malaysia ni, saya faham keadaanya, dengan sikap berat sebelah media arus perdana negara memburukkan lagi keadaan kita di Malaysia. Maklumat dan idea yang sampai kepada rakyat dilihat tidak telus dan terlalu tidak adil. Sudah terlalu terang dan nyata. 

Kebanyakan tokoh dan penulis yang memberi impak kepada masyarakat Turki ialah para ilmuwan Islam yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah universiti, dimana jika kita lihat mereka inilah yang mempunyai idea dan buah fikiran yang tersusun. Di Malaysia, saya begitu kagum dengan masyarakat di negeri Kelantan, masyarakatnya majoriti mempunyai latar belakang agama yang baik. Anak-anak mereka kebanyakannya ditarbiyah dengan baik, dengan wadah Islamiyah yang tinggi, bahkan di bahagian pucuk pimpinan yang memimpinnya juga dilihat dari kalangan mereka yang bertaraf ulama'. Tidak hairan jika rakyat negeri Kelantan ini, walaupun mereka berhijrah keluar daripada negeri mereka sekalipun, tiada masalah bagi mereka untuk berdikari, bahkan identiti negeri dari segi loghat bahasanya tidak luntur. Negeri "Serambi Mekah" satu jolokan nama buat negeri ini. Budaya ilmu saya lihat di negeri ini setelah beberapa kali menjejakkan kaki kesini antara yang paling bercambah subur. Setiap minggu rasanya pasti ada kuliah agama yang diadakan baik dikawasan bandar, bahkan di kawasan kampung sekalipun. Dan tidak terkejut jika saya katakan, rata-rata mereka yang hadir ke kuliah agama ini adalah mereka yang juga tergolong dari golongan intelektual dan terpelajar, dan sudah pastinya mereka-mereka ini adalah antara golongan yang akan membuat  bacaan balik tentang apa yang didengar.

Melihat kepada percambahan ilmu dinegeri orang, saya singgah sebentar melihat percambahan ilmu dinegeri saya sendiri iaitu Terengganu. Alhamdulillah, percambahan ilmu juga berlaku disini, bahkan saya rasa percambahan ilmu ada di serata Malaysia sebenarnya, cuma ditahap mana kita mengambilnya, adakah hanya mengambilnya secara bulat-bulat tanpa dibuat bacaan lanjut atau ditalaqqi dengan guru-guru yang lain tentang ilmu itu. Saya tidak memuji mana-mana negeri sekalipun, cuma hanya pandangan peribadi saya sahaja.

Betapa kita perlu lihat kembali, sejauh mana kita menghargai ilmu yang diberikan oleh Allah kepada kita, adakah hanya sekadar, dapat ilmu kemudian simpan atau kita dapat ilmu, kita teliti, dalami lagi, simpan, dan kemudian kita curahkan pula kepada orang lain. Jika di Turki kerana perkara seperti inilah yang menjadi antara faktor yang membuatkan AKP menang dalam pilihanrayanya. Budaya tekun mendengar penjelasan dan berFIKIR sebelum berkata-kata, memudahkan laluan mereka untuk menang. Rakyat yang sudah terbiasa dengan maklumat dan input daripada telesvisyen dan penelitian mereka tentang sesuatu isu banyak membantu mereka membuat pilihan yang tepat sewaktu pilihanraya. Di Malaysia, kita sudah terlalu dibudayakan dengan Islam popular, Islam murahan. Islam yang tidak mencetuskan fikir. Tetapi sekadar muntahan idea penceramah yang ditelan bulat-bulat tanpa proses oleh pendengar. Sekadar berita-berita putar belit yang dikeluarkan dan kita pula sebagai pendengar, terima bulat-bulat. Inilah antara budaya yang perlu diubah, dapat ilmu dan idea, teliti, fikir, nilai, simpan dan curahkan pula pada yang memerlukan.

Entri post saya kali ini, mungkin dilihat kurang enak untuk dibaca, namun ini hanyalah sekadar pandangan peribadi saya sahaja. Mungkin ada yang berpandangan lain daripada saya, dan setiap perbezaan itu kita raikan. InsyaAllah. Wallahua'lam.






Friday, 3 May 2013

Pengguguran dan Pembuangan Bayi Menurut Perspektif Islam dan Perundangan Islam


PENGGUGURAN DAN PEMBUANGAN BAYI  MENURUT PERSPEKTIF ISLAM DAN PERUNDANGAN ISLAM
Oleh; Mohd Fakhrullah Salafusalam bin Mohd Afandi

Abstrak

Isu pengguguran dan pembuangan bayi dalam kalangan wanita Islam di negara tercinta ini adalah fenomena semasa yang menjadi permasalahan yang bersifat domestik dan antarabangsa. Artikel ini ditulis bertujuan untuk memahami isu pengguguran bayi dan juga pembuangan bayi dengan merujuk kepada undang-undang Islam dan menurut kacamata perspektif Islam itu sendiri. Perbincangan akan dilanjutkan jua dengan perkara-perkara yang sering dikaitkan dengan isu ini sehinggakan isu ini menjadi isu nasional yang perlu dibendung daripada semakin berleluasa dan bermaharajalela kini. Artikel ini juga akan membincangkan secara terperinci mengenai penggunaan prinsip perundangan Islam dalam menyelesaikan isu ini memandangkan keadaan masalah ini yang semakin meruncing dan membarah dalam kalangan masyarakat kita sekarang. Selain itu, kita akan turut melihat sejauh mana peruntukan dan hukuman berkaitan pengguguran dan pembuangan bayi di bawah Kanun Keseksaan Malaysia dan perspektif Islam dan sejauh mana peranan Mahkamah Syariah dalam menanggani isu ini.
Pengenalan


Nyawa dan peluang hidup adalah sesuatu yang sangat berharga dalam kehidupan seorang insan yang bergelar hamba Allah. Setiap yang bernyawa sudah pastinya menghargai nikmat hidup yang dikurniakan oleh Tuhan yang telah menciptakan manusia. Bahkan  dalam semua agama tidak membenarkan nyawa seseorang diambil dengan sewenang-wenangnya tanpa sebab musabab yang betul dan perlu untuk tujuan itu. Kes pengguguran bayi dan pembuangan bayi secara sengaja kini semakin parah dalam kalangan masyarakat kita, apabila  dilihat kepada impak yang diterima oleh individu, institusi kekeluargaan dan masyarakat amnya sangat besar sehinggakan isu ini boleh dikategorikan sebagai isu nasional yang memberikan kesan dari sudut ekonomi, politik bahkan sosio-ekonomi juga. Walaupun tiada kalimah pembunuhan digunakan, namun elemen ‘actus reus’ dan ‘mens reus’ masih tetap memenuhi elemen jenayah pembunuhan terutama bagi kes pembuangan bayi atau janin yang berusia lewat empat bulan dan yang sudah dikatakan sudah ditiupkan roh dan nyawa seperti manusia biasa. Bezanya cuma keupayaannya untuk hidup di dunia nyata masih tiada.

Kes pengguguran dan pembuangan bayi dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini terutamanya dalam kalangan remaja bukan lagi suatu isu atau kes yang terpencil lebih-lebih lagi negara kita dilabel sebagai negara yang mengamalkan sistem Islam. Persoalannya dimana salahnya dan puncanya sehingga menyebabkan angka kes isu ini semakin meningkat saban hari, bahkan hampir setiap hari kita dihidangkan dengan kes-kes seumpama ini. Kes ini juga bukan sesuatu yang baru, bahkan sudahpun berlaku diawal ketamadunan manusia, yang membezakannya pula hanyalah masa dan juga alasan pengguguran bayi dilakukan. Dari segi etika, moral dan hak manusia, pengguguran bayi boleh dianggap sebagai satu kes yang merupakan satu hak wanita untuk melakukannya, namun dari segi impak jangka panjangnya pula ianya suatu perkara yang tidak boleh sewenang-wenangnya dilakukan dan diterima oleh masyarakat kita begitu sahaja. Pengguguran bayi melibatkan nyawa janin yang sedang berkembang dan mempunyai potensi untuk hidup. Justeru ianya adalah suatu perkara yang perlu dilihat dan dikaji dengan lebih teliti dari aspek perundangan dan hukuman sewajarnya kepada pesalah kes ini. Apa yang jelas disini, pengguguran bayi bukan lagi suatu isu minoriti, tetapi ianya bersifat domestik dan sejagat, dimana ianya bukan sahaja berlaku di negara kita sahaja bahkan diseluruh dunia dengan alasan yang pelbagai.


Bab 1 :   Pengguguran Bayi dalam Lingkungan Masyarakat Secara Umum

a)         Definisi Pengguguran

Pengguguran menurut Kamus Dewan Edisi Keempat berasal dari perkataan “gugur” yang membawa kepada pelbagai maksud antaranya jatuh sebelum masak, luruh, buang atau hilang. Manakala bagi tujuan define ‘gugur’ di dalam artikel ini ia membawa maksud lahir sebelum cukup bulan. Perkataan “pengguguran” pula memberi erti perihal atau perbuatan menggugurkan, atau mengeluarkan anak atau janin sebelum cukup bulan daripada rahim si ibu (dengan sengaja). Namun dari sudut yang lain pula kata terbitan daripada perkataan ‘gugur’ iaitu “keguguran” pula membawa erti melahirkan anak sebelum masanya dgn tidak sengaja dan anak tersebut meninggal dunia.(Kamus Dewan Edisi Kedua, 2007)

Jelas daripada definisi ini, kesimpulannya yang dinamakan pengguguran itu ialah apabila wujud satu bentuk perbuatan atau dengan tindakan secara langsung atau dengan perantaraan peralatan atau sebagainya dengan tujuan membuang atau mengeluarkan janin atau bayi daripada tempat asalnya iaitu rahim wanita dengan sengaja dan dengat niat untuk mematikan. Jelas juga disini, elemen niat dalam melakukan perbuatan ini adalah sangat penting dalam mendefinisikan pengguguran tersebut dan penggunaannya dalam menentukan hukum kepada pesalah jenayah ini. Secara literalnya, proses keguguran merupakan pembuangan atau pengeluaran embrio atau fetus dari rahim ibu. Ianya boleh berlaku secara spontan dan di dalam kebanyakan kes di mana ianya berlaku secara spontan adalah disebabkan oleh keabnormalan dari segi struktur atau kromosom janin yang dikandung. Manakala perkataan ‘pengguguran’ itu sendiri membawa kepada makna perbuatan yang disengajakan.

Pengguguran boleh dilakukan atas alasan terapeutik seperti menyelamatkan nyawa ibu yang mengandung, atau kecacatan pada janin yang tidak memungkinkan kehidupan. Manakala, pengguguran yang dilakukan tanpa  alasan kukuh merupakan masalah yang mengundang pelbagai kontroversi dan aspek perdebatan dari sudut etika, agama dan moral. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 40-50 juta wanita di seluruh dunia menggugurkan kandungannya setiap tahun atau dalam ertikata yang lain 125,000 kandungan digugurkan setiap hari. Di USA, 20% dari wanita yang hamil akan menggugurkan kandungannya dengan statistik lebih dari 3000 pengguguran setiap hari. Tidak ada keseragaman dari segi undang-undang terhadap isu pengguguran ini. Ada negara yang membenarkan ianya dilakukan secara sah manakala ada negara yang tidak membenarkannya dan tidak kurang pula di mana tiada apa-apa undang yang diwartakan terhadap isu ini.


b)         Perspektif Ilmu Perubatan

Dari sudut ilmu perubatan atau secara saintifiknya, pengguguran dimaksudkan sebagai proses penamatan kandungan dalam Rahim (uterus) sebelum fetus (janin) mencapai tahap keboleh hidupan (viability), iaitu sewaktu fetus (janin) itu mampu untuk hidup dengan bantuan alat bantuan tertentu, iaitu tempoh neo-natal dan akhirnya dia mampu untuk hidup di luar Rahim tanpa sebarang alat bantuan. Menurut ilmu perubatan di dalam bidang obstetric dan ginekologi, pennguguran membawa maksud pembuangan hasil persenyawaan atau konseptus sebelum tamat tempoh kehamilan yang normal. Pengguguran berlaku apabila rahim dikosongkan secara pramasa dan dikenali sebagai penamatan kehamilan (termination of pregnancy) yang tidak dikehendaki secara sengaja. Dalam kalangan ahli perubatan, pengguguran biasanya dirujuk sebagai perbuatan penamatan kehamilan secara tidak sah atau illegal (abortion), sebaliknya pula apabila ahli perubatan merujuk perbuatan menggugurkan kandungan atas sebab-sebab perubatan yang memerlukannya berbuat sedemikina disebut sebagai penamatan kehamilan atau termination of pregnancy. Secara rangkumannya, walau apa jua istilah yang digunakan oleh ahli perubatan dalam merujuk kepada perbuatan pengguguran kandungan, kesan dan prosesnya tetap sama iaitu mengosongkan Rahim daripada sebarang janin (fetus) sebelum tempoh penamatan kehamilan yang sebenarnya. Secara mudahnya, janin yang digugurkan itu tidak mempunyai keboleh hidupan atau keboleh upayaan untuk hidup walaupun tanpa alat bantuan diberikan. Apa yang membezakan antara keduanya adalah hanya dari sudut perundangan, moral dan etika, diantara tindakan yang sah ataupun terlarang.

Berikut merupakan istilah-istilah perubatan yang digunakan untuk merujuk kepada proses pengguguran atau keguguran:

·       Pengguguran spontan (keguguran): Kematian atau penyingkiran bayi dari rahim akibat trauma tak sengaja atau sebab semula jadi. Keguguran sebegini boleh disebabkan replikasi kromosom tak betul, atau faktor persekitaran lain.
·         Pengguguran aruhan: Pematian atau penyingkiran bayi dari rahim yang dilakukan dengan sengaja oleh manusia sendiri. Pengguguran seperti ini boleh dikategorikan kepada:
·         Pengguguran terapeutik: Pengguguran yang dilakukan bagi:
·         Menyelamatkan nyawa wanita yang hamil
·         Memelihara kesihatan fizikal atau mental wanita
·         Menghentikan kehamilan yang akan melahirkan bayi yang mempunyai gangguan kongenital yang membawa maut atau keadaan tak sihat yang teruk
·         Mengurangkan jumlah fetus secara berpilih, untuk mengurangkan risiko kesihatan yang berkaitan dengan kemahilan berganda
·         Pengguguran elektif: Pengguguran untuk sebab-sebab lain.

c)         Perspektif Islam

Dalam perspektif Islam, pengguguran atau al-ijhad  dari segi bahasa memberi maksud jatuh janin yang telah sempurna dan telah ditiupkan roh, tetapi belum hidup. Al-ijhad juga mempunyai persamaan maksud dengan perkataan seperti al-izlaq (tergelincir), al-isqat (jatuh), al-imlas (tergelincir), dan al-islab (jatuh). Ulama’ mazhab Syafie seperti Iman Ghazali banyak menggunakan perkataan al-ijhad dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin.

d)         Situasi Semasa Pengguguran Bayi

Pengguguran bayi merupakan satu perbuatan yang zalim jika ianya dilakukan secara tidak sah dan tanpa sebab musabab yang memerlukan perbuatan itu dilakukan. Perbuatan ini bertentangan dengan fitrah manusia yang pada hakikatnya cenderung kepada perasaan menyayangi dan disayangi. Islam sangat mencela perbuatan ini kerana ia merosakkan keharmonian masyarakat setempat serta menganggu proses perkembangan sistem kehidupan manusia dalam usaha melahirkan generasi-generasi baharu yang berkualiti daripada pelbagai aspek sebagai persediaan untuk memimpin agama dan negara pada masa akan datang. Kebiasaanya kes pengguguran bayi akan diikuti dengan kes pembuangan bayi. Secara purata, pengguguran kandungan di seluruh dunia dianggarkan melibatkan 50 juta kes setiap tahun iaitu sebanyak 30 juta melakukannya secara sah, sementara 20 juta lagi dibuat secara 'haram'. 

Di luar negara, khasnya di Amerika Syarikat, dua pertubuhan utama, iaitu Federal Centers for Disease Control (FCDC) dan Alan Guttmacher Institute (AGI), telah mengumpulkan data pengguguran kandungan yang menunjukkan bahawa jumlah nyawa yang melayang dalam kes pengguguran kandungan di Amerika, iaitu hampir 2 juta, lebih banyak dari jumlah mangsa perang mana pun dalam sejarah negara itu. Sebagai gambaran, jumlah mangsa perang tentera AS dalam tiap-tiap peperangan adalah: Perang Vietnam 58,151 orang, Perang Korea 54,246 orang, Perang Dunia II 407,316 orang, Perang Dunia I 116,708 orang, Civil War (Perang Sipil) 498,332 orang. Secara keseluruhan, dalam sejarah dunia, jumlah kematian kerana pengguguran kandungan jauh melebihi jumlah mangsa seluruh peperangan jika digabungkan keseluruhannya (www.genetik2000.com).

Data tersebut ternyata selari dengan perangkaan yang menunjukkan bahawa majoriti rakyat Amerika (62 %) berpendirian bahawa hubungan seksual dengan pasangan luar nikah lain, adalah boleh dilakukan.  Mereka beralasan ianya biasa diamalkan dan semua orang mesti melakukannya (James Patterson dan Peter Kim, 1991, The Day America Told The Thruth dalam Dr. Muhammad Bin Saud Al Basyr, Amerika di Ambang Keruntuhan, 1995, hal. 19).
Menurut Ketua Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof Dr Zainul Rashid Mohd Razi, pengguguran janin boleh memberikan implikasi yang besar kepada pelakunya. Antaranya, boleh menyebabkan jangkitan kuman pada saluran peranakan, selain berpotensi mengalami pendarahan di dalam perut yang boleh menyebabkan wanita tersebut pengsan atau maut.

Walau apapun sekarang, melihatkan kepada statistik yang dikeluarkan, ternyata isu pengguguran bayi kini semakin membarah dalam masyarakat dunia, sebab itu di awalnya tadi saya mengatakan bahawa isu ini bukan isu dalam masyarakat Malaysia semata bahkan ianya isu domestik dan sejagat yang boleh membantutkan kemajuan sesebuah negara. Penyelesaian kepada masalah ini perlu dan penentuan hukum secara tegas perlu untuk mempastikan isu ini dapat dibendung daripada terus berleluasa dan jika dikaji sekalipun, faktor pengguguran bayi biasanya mempunyai kaitan dengan factor-faktor pembuangan bayi, sebagai contoh, apabila berlaku peningkatan dalam kes rogol atau zina, secara logiknya kes pengguguran bayi secara haram dan pembuangan bayi secara haram juga akan turut meningkat.

Manusia mana yang sanggup untuk hidup dalam perasaan malu jika masyarakat mencemuh dirinya yang tidak berkahwin tetapi mengandung, dan sudah tentunya anak itu ialah anak luar nikah, anak yang tidak sah tarafnya, namun, dari sudut etika dan moral Islamiyyah, perbuatan membunuh bayi (menggugurkan kandungan) itu lebih teruk cemuhannya daripada malu mengandungkan anak luar nikah. Islam agama fitrah dan syumul dengan undang-undang yang lengkap dan sesuai untuk manusia disepanjang zaman. Dan dalam Islam telah pun hangat diperdebatkan tentang isu ini, tentang hukumnya untuk kemaslahatan ummah. Dan setiap hukum dan undang-undang yang tercatat dan dikeluarkan oleh fuqaha adalah penting dan perlu untuk menjaga kemaslahatan ummah sejagat.

Bab 2:    Qawa’id Fiqhiyyah dalam Penentuan Hukum Pengguguran Bayi

a)         Pengertian Qawa’id Fiqhiyyah

Kaedah dari sudut bahasa bermaksud asas. Dari sudut istilah pula ialah perkara yang dipraktikkan daripada masalah atau perkara pokok kemudian dipraktikkan terhadap perkara-perkara furu’ atau perkara-perkara cabang. Qawa’id fiqhiyyah ialah kaedah fekah dalam undang-undang Islam yang menjadi asas untuk memahami dan mengembangkan feqah islam tentang kaedah-kaedah hukum. Terdapat beberapa factor yang menyebabkan kemunculan kaedah fiqh ini antaranya (1) terdapat nas-nas yang dapat ditafsirkan dengan berbagai-bagai. (2) Munculnya kaedah ini ekoran dalil-dalil syarak yang diperselisihkan oleh fuqaha’ dan (3) terdapat kaedah-kaedah umum yang muncul dalam perkembangan hidup manusia dari satu generasi ke generasi lain untuk disesuaikan dengan masalah-masalh furu’.

Dalam Qawa’id fiqhiyyah terdapat lima kaedah utama yang disenaraikan oleh fuqaha’ dalam menentukan hukum:

1.      Setiap Perkara Dinilai Berdasarkan Niat dan Matlamat.
2.      Keyakinan Tidak Hilang Dengan Keraguan.
3.      Kesukaran Membawa Kemudahan.
4.      Bahaya Mesti Dihapuskan.
5.      Adat Menjadi Hakim.
Dalam isu pengguguran bayi, kaedah fiqh ada menggariskan satu prinsip iaitu bahaya mesti dihapuskan dan membawa maksud secara mudahnya tiada boleh melakukan sesuatu yang bersifat mudarat kepada diri sendiri dan memudaratkan orang lain. Sumber pengambilan kaedah ini berdasarkan hadis Nabi saw yang bermaksud:

“Tidak boleh bahaya dan tidak membahayakan.”

(Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah)

Islam memandang mulia pada setiap kehidupan dari detik ianya dijadikan dan adalah menjadi tanggungjawab semua untuk memelihara kehidupan atau hayat itu. Firman Allah swt
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.”

(Surah Al Isra’ ayat 31)

“Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar.”                       

(Surah Al Isra’ ayat 33)

Pengguguran adalah sesuatu yang memudaratkan janin kerana tindakan tersebut adalah bertujuan mematikannya. Ia juga boleh memudaratkan nyawa si ibu kerana dalam sesetengah situasi, perbuatan menggugurkan kandungan itu boleh menyebabkan pendarahan yang kritikal kepada si ibu dan perkara ini sekaligus akan mengancam nyawa si ibu, lihat petikan dibawah dalam ilmu perubatan sendiri mengatakan sedemikian.

“Menurut Ketua Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof Dr Zainul Rashid Mohd Razi, pengguguran janin boleh memberikan implikasi yang besar kepada pelakunya. Antaranya, boleh menyebabkan jangkitan kuman pada saluran peranakan, selain berpotensi mengalami pendarahan di dalam perut yang boleh menyebabkan wanita tersebut pengsan atau maut.”

b)         Pembahagian dan Penentuan Hukum Berdasarkan Qawa’id Fiqhiyyah

Melihat kepada perbahasan para fuqaha’ dalam memperdebatkan isu ini, secara ringkasnya hukum pengguguran janin terbahagi kepada dua keadaan:

i)    Pendapat yang disepakati fuqaha, iaitu bahawa haram hukumnya melakukan pengguguran kandungan setelah ditiupkannya ruh (usia kandungan empat bulan).

Melihat kepada pernyataan ini, perlu dilihat ketika mana kandungan itu ditiupkan roh, dalam Al Quran telah menceritakan secara terpeinci perihal perkembangan bayi bermula daripada sebelum percantuman atau persenyawaan antara benih lelaki dan benih perempuan menerusi firman Allah swt dalam Surah Al Mu’minun:

            “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan nuftah dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Suci lah Allah, Pencipta Yang Paling Baik. Kemudian, sesudah itu, sesungguhnya kamu sekalian benar-benar akan mati. Kemudian, sesungguhnya kamu sekalian akan dibangkitkan (dari kuburmu) di hari kiamat.”

            (Al Mu’minun ayat 12 – 16)

Hadis Nabi saw daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas’uud r.a. beliau berkata Rasulullah saw telah bersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan,

“Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya roh dan dia diperintahkan dengan empat kalimah; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.)

Dalam menentukan bilakah roh ditiupkan, ulama’ berbeza pendapat, namun para fuqaha’ sepakat menentukan hukum pengguguran adalah haram dan merupakan satu perbuatan jenayah dalam Islam kerana membunuh janin yang tidak berdosa dan bernyawa serta mempunyai potensi untuk hidup.

Dalilnya pengharamannya pula adalah seperti berikut.:

Firman Allah swt:

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kemiskinan.  Kami akan memberikan rezeki kepada mereka dan kepadamu."

(Surah al-An’am ayat 151)

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu karena takut miskin.  Kami akan memberikan rezeki kepada mereka dan kepadamu.”

(Surah al-Isra’ ayat 31)

“Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan (alasan) yang benar (menurut syara’).”

(Surah al-Isra` ayat 33)

“Dan apabila bayi-bayi yang dikubur hidup-hidup itu ditanya karena dosa apakah ia dibunuh."

(Surah at-Takwiir ayat 8-9)

Berdasarkan dalil-dalil ini maka pengguguran kandungan adalah haram pada kandungan yang bernyawa atau telah berusia 4 bulan dan lebih, sebab dalam keadaan demikian bererti pengguguran kandungan itu adalah suatu tindakan jenayah pembunuhan yang diharamkan Islam.

ii)         Status hukum pengguguran bayi sebelum ditiupkan roh (usia kandungan belum mencapai empat bulan)

            a)         Boleh digugurkan

Para fuqaha’ berbeza pendapat tentang hukum pengguguran bayi (janin) sebelum ditiupkan roh (kandungan belum mencapai usia empat bulan), namun kebanyakan daripada mereka mengatakan pengguguran bayi (janin) ketika ini adalah haram.
Pengguguran yang dilakukan ketika janin belum mencapai tahap atau linkungan usia empat bulan atau 120 hari, maka hukumnya dikatakan harus atau ja’iz (tidak apa-apa). Ini berdasarkan pendapat bahawa pengguguran nutfah sebelum menjadi janin, dari segi hukum dapat disamakan dengan ‘azl (coitus interruptus) yang dimaksudkan untuk mencegah terjadinya kehamilan.  ‘Azl dilakukan oleh seorang laki-laki yang tidak menghendaki kehamilan perempuan yang digaulinya, sebab ‘azl merupakan tindakan mengeluarkan sperma di luar vagina perempuan.  Tindakan ini akan mengakibatkan kematian sel sperma, sebagaimana akan mengakibatkan matinya sel telur, sehingga akan mengakibatkan tiadanya pertemuan sel sperma dengan sel telur yang tentu tidak akan menimbulkan kehamilan.
Rasulullah saw telah membolehkan ‘azl kepada seorang laki-laki yang bertanya kepada baginda mengenai tindakannya mempergauli hamba perempuannya, sedangkan dia tidak menginginkan hamba perempuannya itu hamil.  Rasulullah saw bersabda kepadanya:

“Lakukanlah ‘azl padanya jika kamu suka!”

(Hadis riwayat Ahmad, Muslim, dan Abu Dawud)

                        b)         Haram digugurkan

Hujahnya, kehidupan sesuatu itu perlu dihormati. Iman al-Ghazali mengatakan bahawa janin tetap dihormati sebagai sesuatu yang mempunyai potensi untuk hidup kerana keboleh upayaanya untuk berkembang menjadi bayi yang cukup sifat. Maka memusnahkannya iaitu dengan menggugurkannya termasuk dalam perbuatan memusnahkan sesuatu yang bermanfaat, iaitu haram hukumnya. Kata Ibnu Juzi ,bila mani sudah melekat di dinding rahim ia tidak lagi boleh diganggu. Lebih teruk lagi apabila ia sudah bersifat. Malah apabila ia sudah bernyawa perbuatan menggugurkannya itu jelas merupakan pembunuhan manusia tanpa khilaf di kalangan para fuqaha’. (Al-Qawanin al-Fiqhiyah:141). Kata al-Hattab, Ibn al-`Arabi berpendapat para ulama sepakat mengatakan pengguguran sebelum tempoh empat puluh hari selepas persetubuhan berlaku adalah tidak harus.(Mawahib al-Jalil: 3/477). Kata Ibn Hajar al-Haitami, para fuqaha berbeza pendapat tentang hukum perbuatan menyebabkan keguguran kandungan yang belum bernyawa, iaitu sebelum genap 120 hari. Mengikut Ibn al-Imad dan para fuqaha lain lagi ia nya perbuatan haram.(Tuhfat al-Muhtaj:8/241).

            iii)        Pengguguran yang diharuskan syarak

                                    a)         Nyawa ibu terancam

Islam itu agama yang fleksibel dan memudahkan, tidak semestinya sesuatu perkara itu apabila dihukumkan haram maka, tiada tasamuh untuk kes yang perlu dilihat dan dikaji secara mendalam. Menyelamatkan kehidupan adalah sesuatu yang diperintahkan oleh Islam, sesuai firman Allah SWT:

“Barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.”

(Surah al-Ma’idah ayat 32)

Kaedah fiqh dalam masalah ini menyebutkan:

“Idza ta’aradha mafsadatani ru’iya a’zhamuha dhararan birtikabi akhaffihima”

Yang bermaksud: “Jika berkumpul dua mudharat (bahaya) dalam satu hukum, maka dipilih yang lebih ringan mudharatnya.” (Abdul Hamid Hakim, 1927, Mabadi` Awaliyah fi Ushul Al Fiqh wa Al Qawa’id Al Fiqhiyah, ms.35)
Dalam hal ini, nyawa ibu lebih diutamakan kerana mengambil kira ibu sebagi salah satu tonggak dalam kehidupan rumah tangga. Terdapat banyak contoh perkara atau penyakit yang biasanya memerlukan si ibu untuk menggugurkan kandungannya bagi menjamin keselamatan nyawa ibu itu tadi sebagai contoh penyakit kanser yang dikesan di awal kehamilan seperti kanser payudara, kanser servik, kanser paru-paru yang memerlukan rawatan pembedahan, kemoterapi dan radioterapi; dimana jika si ibu meneuskan kandungan boleh menjejaskan kesihatan si ibu dan juga kandungan di mana boleh memberi kesan yang lebih teruk. Dalam hal ini ulama’ sepakat mengatakan harus untuk si ibu menggugurkan kandungannya.

                                    b) Pengguguran disebabkan kecacatan

Dari segi perubatan, pada umumnya kecacatan terbahagi kepada tiga jenis iaitu kecacatan fizikal, kecacatan mental dan kecacatan kombinasi kedua-duanya.
Terdapat berbagai kecacatan yang berlaku pada janin, antaranya ialah kecacatan fizikal seperti pekak, buta mata, sumbing bibir, tiada otak, kepala besar dan sebagainya. Manakala kecacatan mental pula ialah seperti kelembapan otak, peradangan otak dan sebagainya. Tidak semua kecacatan ini dapat dikesan oleh doktor melalui peralatan dan ujian yang dilaksanakan.
Apabila kecacatan dikesan dalam perkembangan janin dalam rahim ibu, dan jika kecacatan itu mampu mengancam keselamatan si ibu, hukum pengguguran bayi tadi adalah harus bagi menjamin keselamatn si ibu. Kaedah yang sama iaitu “Jika berkumpul dua mudharat (bahaya) dalam satu hukum, maka dipilih yang lebih ringan mudharatnya.”

Kesimpulan

Pengguguran bayi merupakan perbuatan yang haram disi agama Islam dan rasanya semua agama juga mengharamkan penganutnya untuk melakukan perbuatan ini. Namun perlu dilihat untuk tujuan apa perbuatan itu dilakukan. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-26 yang bersidang pada 7 - 8 Mac 1990 telah membincangkan Pengguguran Kandungan Kerana Kecacatan. Muzakarah telah memutuskan bahawa haram menggugurkan janin di dalam kandungan, kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.
Kehidupan itu perlu dihormati, tidak kira ianya masih belum berupaya untuk hidup dengan sendirinya ataupun tidak, melakukan pembunuhan yakni dengan melakukan pengguguran bayi (janin) secara haram dan tanpa sebab musabab yang memerlukan seseorang melakukannya adalah perihal perkara yang menyalahi syarak bahkan ianya merupakan perkara yang menyalahi etika dan moral Islam. Setiap hukum yang dikeluarkan dalam Islam pula mengambil kira kemaslahatan individu bahkan ianya juga melihat dari segi kemaslahata ummah yang paling penting. Kaedah fiqh untuk menentukan hukum pengguguran bayi pula dilihat lebih kepada menjaga kemaslahatan individu yakni ibu yang mengandungkan bayi tersebut.
Dengan pengharaman pengguguran bayi secara haram dan tidak sah serta tanpa factor yang memerlukan untuk melakukan sedemikan diharap akan dapat membendung masalah pengguguran bayi ini terutamanya di Malaysia.

Wednesday, 24 April 2013

Unsur Dinamika Dalam Ibadah dan Perkaitannya Dengan Tazkiyatun Nafs


Pendahuluan
Hari ini mata dan hati manusia digemparkan dengan pelbagai penyakit hati dalam kalangan umat Islam hari ini seperti yang pernah pernah dialami oleh umat-umat Islam yang terdahulu dan umat-umat yang bukan Islam. Misalnya penyakit malas bekerja tetapi hendak kaya cepat melalui jalan yang tidak halal lantas untuk memenuhi tuntutan itu maka ada yang sanggup menipu dengan menggunakan ayat-ayat  Allah S.W.T sebagai topeng, sanggup menfitnah semata-mata kerana ingin kekal dihormati dan berkuasa dalam pelbagai jawatan  dan malas melaksanakan tugasan yang telah diamanahkan, sebaliknya sibuk dengan urusan kerja yang langsung tidak mendapat berkat dengan apa yang dikerjakan itu.
Ada juga yang suka mencari kelemahan dan menjaga tepi kain orang sedangkan dalam masa yang sama kelemahan sendiri diabaikan. Ada juga yang melihat amalan-amalan agama yang dianjurkan oleh Islam sebagai ekstremis, ketinggalan zaman dan mengongkong pergerakan seseorang individu Muslim, kerana itu ada diantara kita yang berusaha untuk melepaskan diri daripada ikatan pengongkongan tersebut agar mereka dapat bebas dalam menentukan hala tuju dan kehidupan mereka tanpa mereka sedar bahawa mereka sudahpun terjerumus kelembah kehinaan Allah S.W.T.
Senang ceritanya terdapat seribu macam penyakit yang berpunca daripada hati manusia yang kotor dan perlu diatasi, dirawat dan dibersihkan semula dengan segera. Kesemuanya termasuk ke dalam sunnah-sunnah lubang biawak yang pernah dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadis baginda yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dalam sahihnya daripada Abu Sa’id al Khudri r.a[1];
Ertinya:
“Kamu akan mengikut sunnah-sunnah orang-orang yang hidup sebelum daripada anda sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sehingga kalau mereka masuk kedalam lubang biawak sekalipun, kamu akan turut mengikut mereka. Kami berkata; Wahai Rasulullah: Bukankah sunnah orang-orang terdahulu itu golongan Yahudi dan juga Kristian?. Sabda baginda; Siapa lagi kalau bukan mereka?.”
(Al-Bukhari, Bab Qawlu al-Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Latatba’unna Sunana Man Kana Qabalakum, hadis no: 6775)
Bagi seorang individu Muslim yang beriman kepada Allah S.W.T amat penting baginya untuk melakukan proses rawatan dan pembersihan jiwa. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan untuk membersihkan jiwa daripada jangkitan-jangkitan penyakit hati yang boleh merosakkan dan menganggu gugat kualiti iman dan kualiti ibadah manusia dan sekaligus akan memberi kesan kepada akhlak seorang individu Muslim itu. Dan dalam proses pembersihan jiwa ini, konsisten dan istiqamah amat diperlukan kerana manusia itu sering terdedah kepada dosa dan kesalahan. Syaitan dan nafsu tidak akan pernah puas dan berhenti untuk menggoda manusia sehingga manusia itu sama-sama bersama dengan mereka menemani mereka didalam neraka kelak.
Mekanisma pelaksanaan proses pembersihan jiwa pula tidak boleh dilakukan secara sembrono atau sesuka hati. Kerana kita sudah diberikan panduan dan pedoman untuk itu iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Dan dalam bab ibadah juga ada unsur-unsur pembersihan jiwa kerana dalam setiap ibadah itu perlunya disertakan dengan hadirnya rasa ikhlas dalam hati supaya setiap ibadah itu diterima oleh Allah S.W.T. Dalam ajaran Islam jika ibadah yang dilakukan tidak disertai dengan akhlak yang baik maka ibadah-ibadah yang dilakukan tersebut tidak bernilai bahkan tidak diterima oleh Allah S.W.T. Allah S.W.T yang bersih sifatnya sudah tentu mengutamakan kebersihan diri insan zahir dan batin.[2] (Ghazali Darusalam, Dinamika Ilmu Akhlak Islamiah; m/s 10-11 )
Justeru aspek pelaksanaan ibadah secara sempurna amat penting dalam pembentukan nilai akhlak dalam diri individu Muslim yang mengaku beriman kepada Allah S.W.T. Persoalan unsur dinamik dalam pelaksanaan ibadah itulah yang akan dikupas nanti dan hubungannya dengan pembersihan jiwa manusia. Bagaimana unsur dinamik didalam ibadah mampu membina akhlak mulia dalam diri seorang individu Muslim?. InsyaAllah itu adalah perkara yang akan dikupas didalam tugasan ini.
Orang yang beribadah dan melakukan pembersihan jiwa tanpa mengikut acuan yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W bererti telah menyakitkan Rasulullah dan melihat seolah-olah  dia lebih pandai daripada Rasulullah itu sendiri dalam persoalan pembersihan jiwa itu.
Firman Allah S.W.T:
Ertinya:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri”(orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu, kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat, yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (Al-Nisa’: 59)
Semoga dengan kupasan tajuk ini,dapat memberikan sedikit kefahaman kepada kita tentang pentingnya ibadah yang sempurna dalam pembentukan nilai akhlak yang mulia melalui proses pembersihan jiwa.

Bab 1:       Definisi Dinamik, Pembersihan Jiwa dan Kepentingannya.

a) Definisi Dinamik Dalam Konteks Pembersihan Jiwa. 

Dalam memahami bab pelaksanaan proses pembersihan jiwa melalui ibadah yang dilaksanakan, kita perlu tahu unsur-unsur dinamik yang ada dalam sesuatu ibadah yang dilaksanakan. Berdasarkan kamus dewan edisi keempat, dinamik diertikan sebagai bertenaga dan berkekuatan serta mampu membuat penyesuaian serta menerbitkan pembaharuan dan kemajuan. Dalam masa yang sama juga dinamik diertikan sebagai cabang ilmu mekanik yang berkaitan dengan daya dan hubungannya dengan gerakan jasad. Secara literalnya dan mudah difahami, unsur dinamik ini mempunyai kaitan dengan pergerakan yang kita lakukan dalam perlaksanaan ibadah itu sendiri, sebagai contoh kita melakukan ibadah solat, dan dalam solat itu adanya pergerakan jasad kita seperti tunduk  ketika ruku’ dan sujud ketika rukun sujud dilakukan. Unsur dinamik yakni peregerakan fizikal anggota tubuh manusia yang disertyai dengan nilaian dalam(kerohanian) diri manusia iaitu hati yang bersih dan ikhlas ini perlu ada dalam sesuatu ibadah yang dilaksanakan supaya pembentukan dan pembinaan nilai-nilai akhlak yang mulia dapat dicapai.
Begitu jua dalam ibadah seperti puasa, kita menahan diri daripada makan dan minum, tapi bukan itu sahaja yang perlu dikawal dan ditahan, tetapi jua hawa nafsu kita. Dan secara mudahnya, jika ibadah puasa itu dilaksanakan dengan sempurna dan dengan keikhlasan hati semata-mata kerana Allah S.W.T, maka ganjarannya nanti adalah ketakwaan diri kepada Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T:
Ertinya:
“Wahai orang-orang yang beriman, difardhukan ke atas kamu puasa seperti mana yang difardhukan kepada mereka yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu akan menjadi orang yang bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)
Dalam konteks ini, jelas sekali, ibadah puasa itu dilaksanakan tujuannya untuk kita mencapai akhlak yang tertinggi melalui konsep takwa (takut kepada Allah S.W.T).
Seperti yang telah saya sebutkan diawalnya dalam pendahuluan sebelum ini, dari segi ibadah, keseluruhan yang terdapat dalam ajaran Islam itu jika tidak disertai dengan akhlak yang mulia maka ibadah-ibadah yang dilakukan tersebut adalah sia-sia dan tidak bernilai disisi Allah S.W.T. Konsepnya mudah Allah S.W.T itu bersih zatnya dan sifatnya, sudah tentu Dia mengutamakan kebersihan diri insan secara lahiriah dan batiniahnya.

b) Pembersihan Jiwa Sebagai Satu Proses Membina Akhlak Yang Mulia.

Dan dalam setiap unsur dinamik dalam pelaksanaan ibadah dalam ajaran Islam itu ada kaitannya dengan proses pembersihan jiwa. Pembersihan dalam bahasa Arab disebutkan sebagai al-Tazkiyah.

Firman Allah S.W.T:
Ertinya:
“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi  dalam perut mereka selain dari api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan ia tidak membersihkan mereka (dari dosa) dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Al-Baqarah: 174)
Manakala jiwa pula disebut sebagai al-Nafs. Al-Ghazali merujuk perkara ini kepada salah satu daripada dua pengertian berikut:
i.          pengertian yang merangkumi kesemua sekali kekuatan marah serta hawa nafsu yang terdapat dalam diri manusia, yang merupakan punca bagi semua sifat tercela yang terdapat dalam diri manusia.
ii.         hakikat diri serta zat sebenar diri manusia itu sendiri.

Firman Allah S.W.T yang menyebut tentang jiwa seperti:
Ertinya:
“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allah atau orang yang berkata: “Telah diberi wahyu kepadaku”, padahal tidak diberikan sesuatu wahyupun kepadanya dan orang yang berkata: “Aku akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah”. Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan sakratulmaut (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keteranganNya.” (Al-An’am: 93)
Dalam kitab Al-Maidani, bab al-Aqa’id al-Islamiyyah, Syeikh Abd Rahman Habannakah al-Maidani tokoh ulama besar daripada timur tengah menyimpulkan yang dikatakan sebagai al-Nafs menurut penggunaan al-Quran ialah sesuatu yang bersifat dalaman pada tubuh badan manusia dan tidak dapat ditangkapi hakikatnya yang sebenar, tetapi boleh dibimbing untuk melakukan kebaikan mahupun kejahatan. Ia mempunyai sifat-sifat dan kriteria-kriteria kemanusiaan yang mempunyai kesan ke atas tingkah laku  dan tindak-tanduk manusia.
Pembersihan jiwa pula secara rangkumannya membawa maksud membersihkan jiwa dan jiwa batiniah seorang individu Muslim itu daripada melakukan kejahatan dan dosa serta mengembangkan fitrah kemanusiaan yang ada didalam diri manusia sehingga membawa kepada istiqamah dan konsisten dalam melakukan segala yang diperintahkan oleh Allah S.W.T dan meninggalkan segala apa yang telah dilarang oleh Allah S.W.T dan juga mencapai darjat ihsan.
Dalam proses pembersihan jiwa terdapat dua dimensi utama yang perlu dilakukan dalam usaha pembersihan jiwa.
i.       Takalli- proses mengosongkan atau membuangkan segala kehendak-kehendak nafsu yang rendah dan dilarang Allah.
ii.         Tahalli- proses penghiasan atau pemakaian diri sejati manusia itu dengan sifat-sifat mulia dan terpuji.
Firman Allah S.W.T:
Ertinya:
“Hai jiwa yang tenang (nafsu mutmainah) kembalilah pada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam Jemaah hamba-hambaKu. Dan masuklah kedalam syurgaKu.” (Al-Fajr: 27-30)

Pembersihan jiwa yang sempurna pastinya akan mendorong manusia kea rah kesempurnaan iman, berkahlak dengan akhlak Rasulullah, mengikut sifat-sifat baginda yang zahir mahupun yang batin dan segala aspek keimanan yang disarankan oleh baginda.[3]
(Nabil hamid al-Ma’az, Tazkiyah al-Nufus, jil.1, hlm.12)

            Rangkumannya mudah, jika sempurna pembersihan jiwa yang dilakukan, secara ringkasnya, pasti pembinaan akhlak yang mahmudah, akhlak yang mulia seperti yang dituntut oleh Allah S.W.T dapat dicapai.

c) Kepentingan Pembersihan Jiwa

            Pembersihan mempunyai kedudukan yang cukup tinggi dan amat penting menurut pandangan al-Quran dan ianya adalah cukup jelas. Ianya merupakan salah satu agenda utama pengutusan Rasul oleh Allah ke alam ini.
Firman Allah S.W.T:
Ertinya:
“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad S.A.W) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam keadaan kesesatan yang nyata.” (Al-Jumuah: 2)
Pentingnya proses pembersihan jiwa ini sehinggakan Allah meletakkan kejayaan seseorang itu dalam hidupnya apabila berjaya membersihkan jiwanya dan kerugian yang bakal menimpa dan bakal ditanggung apabila mengabaikan dan mencuaikan proses pembersihan jiwa ini.

Firman Allah S.W.T:
Ertinya:
“Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya- yang sedia bersih- bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya- yang sedia bersih- itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” (Al-Syams: 9-10)

            Kepentingan pembersihan jiwa dalam Islam merangkumi semua apsek lapisan masyarakat. Bukan sahaja orang awam biasa, bahkan pemimpin, ulama, guru, pengawai kerajaan dan sesiapa sahaja perlu melakukan proses pembersihan jiwa. Menurut imam Hassan al-Banna adalah sesuatu yang mustahil umat dapat bangkit tanpa  adanya kebangkitan jiwa, rohani dan juga perasaan. Justeru itu, proses pembersihan jiwa perlu untuk membangkitkan jiwa manusia kearah kecintaan kepada Allah dan pengabdian diri hanya kepada Allah. Kedudukan pembersihan jiwa begitu besar dalam Islam, sehinggakan Rasulullah S.A.W sendiri sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T agar Dia sentiasa membersihkan jiwa baginda dan menjauhkan sesuatu yang boleh mengotorkannya. Secara tidak langsung, kita yang hanya insan biasa sebenarnya amat memerlukan pembersihan jiwa, jika seorang nabi yang telah Allah S.W.T bersihkan jiwanya jua memohon agar Allah membersihkan jiwanya, kita pula mestilah lebih untuk melakukannya secara lebih intensif dan berusaha bersungguh-sungguh untuk  melakukannya agar Dia membersihkan jiwa kita daripada kekotoran maksiat.

Bab 2:   Kaitan Unsur Dinamik Dalam Ibadah Dengan Pembersihan   Jiwa.

            Pembersihan jiwa merupakan binaan yang tertinggi yang mempunyai asas-asas dan kaedah-kaedahnya yang tersendiri, selain daripada memiliki cara dan kaedah-kaedahnya yang tersendiri, supaya tercapai segala matlamat dan mampu menghasilkan kejayaan dan kesan yang baik. Proses pelaksanaannya pula ditegaskan sekali lagi perlukan mekanisma yang berterusan dan konsisten. Dan apa yang dilazirkan melalui mekanisma itu adalah kesan langsung lagi positif ke atas an-nafs atau diri manusia, sehingga dapat menyembuhkan an-nafs itu daripada jangkitan penyakit-penyakit hati yang bisa menggugat kualiti iman dan takwa kepada Allah S.W.T.
            Antara amalan yang dapat memberikan kesan langsung dalam usaha pembersihan jiwa, dimana setiap amalan ini mempunyai unsur-unsur dinamik yang kalau difikir secara logik pun mempunyai kaitan dengan proses pembersihan jiwa secara tidak langsung seperti:
a) Solat
            Solat merupakan tiang agama, kunci syurga dan amalan hamba yang pertama yang akan dihisab oleh Allah S.W.T pada hari kiamat kelak.  Ianya merupakan ibadah yang mempunyai kedudukan yang tinggi dan agung dalam agama Islam dan mempunyai banyak keistimewaan. Satu ibadah yang wajib dilaksanakan oleh setiap mukallaf tidak kira samaada sedang bermusafir, sakit, orang kaya atau orang miskin, bahkan pemimpin atau orang bawahan sekalipun.
Firman Allah S.W.T
Ertinya:
“Dan dirikanlah kamu akan solat dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.” (Al-Baqarah: 43)
Dalam ibadah solat, pergerakan badan yang dilakukan ketika solat, tidak pernah dilakukan dalam mana-mana solat yang terdapat dalam  agama-agama lain. Ia bukannya gerakan yang terlalu mudah bahkan  jua bukannya gerakan yang terlalu payah, sebaliknya merupakan senaman yang unggul yang melibatkan cara yang mudah dan menarik. Pergerakan solat yang terdiri daripada berdiri, takbir, rukuk dan sujud, pada keseluruhannya adalah senaman badan yang bersifat menyeluruh dan unggul.
            Dalam menunaikan ibadah solat, perlu menjaga rohnya. Roh solat ialah niat, ikhlas, khusyuk dan juga hadir hati. Solat merangkumi zikir, munajat dan perbuatan. Tanpa kehadiran hati, maksud zikir dan munajat tidak akan terhasil, kerana ungkapan yang dikeluarkan oleh lidah, yang tidak mengambarkan apa yang ada di dalam hati, dikira sia-sia. Begitu juga, tidak menghasilkan maksud perbuatan-perbuatan yang dilakukan di dalam solat. Ini kerana maksud berdiri, ialah berkhidmat dan maksud rukuk dan sujud ialah menyatakan kerendahan hati dan pengagungan terhadap kebesaran Allah S.W.T. Jika hati tidak hadir, tidak tercapai maksud. Sesuatu yang tidak tercapai maksud dan perbuatan yang jua terkeluar daripada maksud melakukannya dalah perkara-perkara yang sia-sia dan akan menjadi rangka luar semata-mata.[4]
(Prof Madya Dr. Basri bin Ibrahim Al-Hasani Al- Azhari et al, Pembersihan Jiwa, hlm. 496)

            Dalam solat, ketika seseorang itu melakukan perbuatan berdiri sebelum memulakan ibadah solatnya itu, dia sebenarnya sedang menyahut seruan Allah S.W.T dan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dengan melakukan amalan ketaatan. Dia telah mengisytiharkan ketundukan dan kerendahan hatinya kepada Allah S.W.T dan merasa mulia  dengan melakukan pengabdian diri kepada Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T:
Ertinya:
“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan solat dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesame mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya.” (Asy-Syura: 38)
Khusyuk dalam solat adalah roh solat itu sendiri selain daripada tadabur dan juga hadir hati seperti yang digambarkan diatas. Solat yang tidak khusyuk tidak ubah seperti jasad tanpa ruh. Tidak ada kejayaan kepada orang mukmin yang tidak khusyuk dalam solat.

Firman Allah S.W.T:
Ertinya:
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.” (Al-Mukminun: 1-2)

            Menurut Ibn Taimiyyah yang dikatakan khusyuk dalam solat itu ialah pertama tawaduk dan merendahkan  diri  kepada Allah S.W.T dan kedua tenang dan tenteram.[5]
(Ibn Taimiyyah, al-Iman, hlm. 24)

Oleh kerana khusyuk dalam solat merupakan hasil pembersihan jiwa, maka khusyuk yang sempurna tidak akan berlaku kecuali kepada orang-orang yang benar-benar merasai kemanisan iman. Ada dua sebab yang boleh melahirkan khusyuk dalam solat iaitu pertama dengan melakukan latihan amali dan kedua dengan cara memperolehinya sebagai hasil daripada pembersihan jiwa yang tidak memerlukan mujahadah diri setiap kali menunaikan solat, kerana khusyuk itu bakat dan sifat yang tidak bercerai tanggal daripada diri seseorang.
Di antara rukun solat ialah sujud. Pada masa sujud inilah seseorang dianggap berada paling dekat dengan Allah S.W.T. Berada paling dekat dengan Allah S.W.T merupakan saat-saat yang paling manis bagi mereka yang beriman. Secara tidak langsung, jika seseorang yang sedang bersujud ketika solat itu merasai kemanisan dalam bersujud itu, kemanisan dalam beribadah itu, maka secara logiknya, hatinya akan mudah dilentur dan dibajai untuk proses pembersihan jiwa berlaku dengan sempurna.

b) Zakat dan Sedekah
            Zakat, satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh seorang mukallaf dalam Islam. Wajib disini hanya kepada mereka yang berkemampuan untuk diagihkan kepada orang-orang fakir dan miskin mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Islam. Dinamakan zakat kerana pengeluaran harta itu dilakukan agae mendapat keberkatan, pembersihan jiwa dan juga pengembanggannya dengan berbagai-bagai amalan kebaikan.

Firman Allah S.W.T:
Ertinya:
“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya Engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan ingatlah Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (At-Taubah: 103)

Zakat dan sedekah boleh menjadi pembersih jiwa kepada seseorang apabila terealisasinya dua syarat iaitu:

i.          Menjauhi riak, berbangga-bangga, dan mengungkit pemberian kepada orang fakir.
Orang yang bersedekah dan mengeluarkan zakat sepatutnya perlu menjauhi dan mengawasi diri agar tidak diresapi oleh perasaan riak dan berbangga diri de ngan amalan yang telah dilakukan. Dia perlu menyedari bahwa dia kan berdiri di hadapan Allah S.W.T pada hari kiamat kelak dan akan ditanya tentang sedekah yang dikeluarkannya samada dengan ikhlas ataupun tidak.           

            ii.         Membelanjakan harta yang dikasihi dalam keadaan redha.
Kebaikan tidak akan diperolehi melainkan dengan cara seseorang itu mengorbankan hartanya yang paling dikasihi dengan penuh rasa redha dan bukannya benci. Secara tidak langsung, hati akan terdidik untuk sentiasa bersyukur dengan segala nikmat rezeki yang telah Allah S.W.T kurniakan kepadanya. Secara tidak langsung juga ia dapat membebaskan diri manusia daripada sifat yang mazmumah seperti perhambaan diri manusia kepada harta benda, sifat kedekut dan bakhil dan jua sifat kasihkan diri sendiri sahaja. Dalam proses pembersihan jiwa kita dapat lihat, dengan adanya elemen-elemen seperti ini maka kita telahpun melaksanakan proses takalli iaitu membuang perkara-perkara atau sifat-sifat mazmumah tercela yang ada dalam diri manusia.

Firman Allah S.W.T:
Ertinya:
“Kamu tidak akan sesekali dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Ali-Imran: 92)

c) Puasa

            Puasa juga merupakan salah satu ibadah yang terkandung di dalamnya unsur-unsur dinamik yang boleh dilihat secara halus dan tersirat. Allah S.W.T menfardhukan ibadah puasa kepada umat Islam dan menjadikannya sebagai salah satu  daripada rukun Islam yang lima.

Firman Allah S.W.T:
Ertinya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)
Menurut Iman Fakhr al- Razi, Allah S.W.T menjelaskan puasa  boleh mewariskan sifat takwa kerana ia mengandungi pengekangan syahwat dan pengawalan hawa nafsu. Pengekangan dan pengawalan nafus dapat mengelakkan diri daripada kejahatan, kesombongan dan berbagai-bagai perkara keji, malah akan melahirkan perasaan betapa tidak kekalnya keseronokan duniawi. [6]
(Al-Fakhr al-Razi, Tafir al Fakhr al-Razi, jil.5, hlm.76)

Ibadah puasa dilihat sebagai salah satu cara yang sangat penting bagi membersihkan jiwa dan menjauhkan diri daripada penguasaan dan cengkaman syahwat.
Al-Qardhawi dalam kitabnya al-Ibadah menyebut, ibadah puasa merupakan cara yang agung bagi membersihkan jiwa dan menjauhkannya daripada penguasaan dan cengkaman nafsu syahwat. Jika ibadah puasa yang melibatkan penahanan diri daripada makan dan minum dari segi zahirnya dilihat sebagai sesuatu yang negative,, namun dari segi hakikatnya ia merupakan amalan yang positif yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam  neraca timbangan hamba dan penerimaan disisi Allah S.W.T.[7]
(Al-Qardhawi, al-Ibadah, hlm. 271)

Dari segi kemampuan untuk membersihkan jiwa, ibadah puasa tidak tertumpu hanya pada puasa di bulan Ramadhan yang sememangnya telah diwajibkan ke atas umat Islam, namun jua ianya melibatkan puasa-puasa sunat yang lain. Puasa merupakan satu ibadah yang dapat mendidik jiwa dan melonjakkan diri ke mercu ketinggian takwa.
            Puasa juga dilihat mampu mengendurkan sifat-sifat tercela kebinatangan yang terdapat pada diri amnesia. Sifat kebinatangan tertumpu kepada makan,minum dan hubungan seks. Apabila manusia  dapat mengawal hawa nafsu, bermakna Berjaya membersihkan hati dan rohnya dari sifat kebuasan sifat kebinatangan  yang menggila dan dengan itui dia berda dekat dengan Allah S.W.T.

Ibadah puasa yang dilakukan yang benar-benar dapat membersihkan jiwa mestilah memenuhi syarat-syarat seperti:
            i.          Dilakukan dengan penuh keimanan dan harapan kepada Allah S.W.T.[8]
                        Hadis Nabi S.A.W:
                        Ertinya:
                        “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan harapan mendapatkan ganjaran daripada Allah, diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Al-Bukhari, Bab Sawm Ramadhan Ihtisaban Mina al-Iman, hadis no:37)

Sehubungan dengan itu, hanya mereka yang merasakan kemanisan melakukan ibadah puasa sahaja, dengan keikhlasan hati dan untuk mendapatkan ganjaran daripadanya sahaja, bakal meraih hasil puasa dan menikmati kelebihan-kelebihannya. Puasa bagi mereka yang tiada rasa kemanisan itu tiadak akan bertibdak sebagai madrasah intensif bagi bermujahadah nafsu dan membersihkannya, kerana orang yang berpuasa itu tidak melakukan apa-apa perubahan dalam dirinya selain daripada makan sahaja, bahkan masa di siang harinya hanya memikirkan keduniaan semata-mata.

            ii.         Menjauhi maksiat
Puasa yang dilakukan dan disertakan dengan perkara-perkara maksiat, sesungguhnya puasa yang dilakuakan itu adalah puasa yang sia-sia. Tidak mampu untuk mengubah dan membersihkan jiwa kerana terlalu jauh daripada perintah Allah S.W.T.

Rangkumannya, ibadah puasa yang dilaksanakan dengan penuh khusyuk, tawaduk dan mengharapkan ganjaran daripadaNya pasti akan dapat membersihkan jiwa manusia yang sedang bermujahadah nafsu. Di setiap ibadah yang dilakukan sebenarnya ada elemen-elemen yang mampu membersihkan hati manusia, mendidiknya dengan sifat-sifat mahmudah dan kahirnya secara tidak langsung pembinaan dan pembentukan akhlak mulia dalam jiwa dan diri manusia akan dapat tercapai. Roh Islami yang ada dalam jiwa individu Muslim itu akan dapat kembali kepada mengenal Tuhannya yang satu iaitu Allah S.W.T.

Kesimpulan
            Dalam setiap ibadah yang dilaksanakan adanya unsur-unsur dinamik yang terkandung didalam setiap ibadah tersebut seperti yang telah dijelaskan dalam huraian diatas, dan apa yang terkandung diatas adalah antara ibadah-ibadah utama yang diwajibkan keatas seorang individu Muslim yang mukallaf, tahu menilai mana baik dan mana buruknya sesuatu amalan itu.
            Disetiap pergerakan dan ibadah yang dilakukan itu adanya unsur-unsur untuk membersihkan jiwa dan hati manusia daripa jangkita-jangkitan penyakit hati yang boleh menganggu gugat kualiti iman dan ibadah yang dilakukan kepada Allah S.W.T. Secara ringkasnya, daripada apa yang telah dihuraikan diatas, pembersihan jiwa adalah suatu proses membersihkan jiwa daripada dorongan yang menyeru kepada kejahatan dan dosa dan mengembangkan fitrah kebaikan yang ada dalam diri Mulim sehingga membawa kepada istiqamah dalam melaksanakan segala yang diperintahkan oleh Allah S.W.T dan meninggalkan segala yang telah dilarang olehNya. Dan juga mencapai darjat ihsan. Ia juga mendorong jiwa ke arah kesempurnaan iman, berakhlak dengan akhlak Rasulullah, mengikut sifat-sifat baginda yang zahir mahupun batib dan segala aspek  keimanan yang disarankan oleh Nabi S.A.W.
Dan disetiap ap yang telah dibincangkan diatas telahpun disertakan dengan hujah-hujahnya, dimana setiap yang diatas itu adalah antara kaedah uslub amali dalam pembersihan jiwa yang mana ianya merupakan amalan-malan ibadah yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam seperti solat, sedekah dan zakat, dan jua puasa.[9]

Sabda Rasulullah S.A.W:
Ertinya:
“Tiga perkara sesiapa yang melakukannya akan merasai kemanisan iman. Sesiapa yanag menyembah Allah Azza Wajalla dalam keadaan yakin tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, mengeluarkan zakat hartanya dengan hati yang lapang setiap tahun dan tidak mengeluarkan yang binatang tua, kotor dan sakit, tetapi mengeluarkannya dari harta anda yang pertengahan. Sesungguhnya Allah tidak meminta anda mengeluarkannya yang terlalu baik dan tidak pula yang terlalu buruk dan membersihkan dirinya. Seorang lelaki berkata: Apakah itu pembersihan jiwa? Sabda baginda: Dia mengetahui Allah S.W.T itu sentiasa bersama dengannya dimana sahaja dia berada.”
(Al-Tabrani, al-Mu’jam al-Saghir jil. 1, hlm. 201, al-Baihaqi, al-Sunan, jil.4, hlm. 95 dan disahihkan oleh Al-Albani dalam silsilah al-Ahadis al-Sahihah, hadis no:1046)

Wallahua’lam.



[1] Al-Bukhari, Bab Qawlu al-Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Latatba’unna Sunana Man Kana Qabalakum, hadis no: 6775
[2] Ghazali Darusalam, Dinamika Ilmu Akhlak Islamiah; m/s 10-11
[3] Nabil hamid al-Ma’az, Tazkiyah al-Nufus, jil.1, hlm.12
[4] Prof Madya Dr. Basri bin Ibrahim Al-Hasani Al- Azhari et al, Pembersihan Jiwa, hlm. 496
[5] Ibn Taimiyyah, al-Iman, hlm. 24
[6] Al-Fakhr al-Razi, Tafir al Fakhr al-Razi, jil.5, hlm.76
[7] Al-Qardhawi, al-Ibadah, hlm. 271
[8] Al-Bukhari, Bab Sawm Ramadhan Ihtisaban Mina al-Iman, hadis no:37
[9] Al-Tabrani, al-Mu’jam al-Saghir jil. 1, hlm. 201, al-Baihaqi, al-Sunan, jil.4, hlm. 95 dan disahihkan oleh Al-Albani dalam silsilah al-Ahadis al-Sahihah, hadis no:1046