PENGGUGURAN DAN PEMBUANGAN BAYI MENURUT PERSPEKTIF ISLAM DAN PERUNDANGAN ISLAM
Oleh; Mohd Fakhrullah Salafusalam bin Mohd Afandi
Abstrak
Isu pengguguran dan pembuangan bayi dalam kalangan wanita Islam di negara tercinta ini adalah fenomena semasa yang menjadi permasalahan yang bersifat domestik dan antarabangsa. Artikel ini ditulis bertujuan untuk memahami isu pengguguran bayi dan juga pembuangan bayi dengan merujuk kepada undang-undang Islam dan menurut kacamata perspektif Islam itu sendiri. Perbincangan akan dilanjutkan jua dengan perkara-perkara yang sering dikaitkan dengan isu ini sehinggakan isu ini menjadi isu nasional yang perlu dibendung daripada semakin berleluasa dan bermaharajalela kini. Artikel ini juga akan membincangkan secara terperinci mengenai penggunaan prinsip perundangan Islam dalam menyelesaikan isu ini memandangkan keadaan masalah ini yang semakin meruncing dan membarah dalam kalangan masyarakat kita sekarang. Selain itu, kita akan turut melihat sejauh mana peruntukan dan hukuman berkaitan pengguguran dan pembuangan bayi di bawah Kanun Keseksaan Malaysia dan perspektif Islam dan sejauh mana peranan Mahkamah Syariah dalam menanggani isu ini.
Pengenalan
Kes pengguguran dan pembuangan bayi dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini terutamanya dalam kalangan remaja bukan lagi suatu isu atau kes yang terpencil lebih-lebih lagi negara kita dilabel sebagai negara yang mengamalkan sistem Islam. Persoalannya dimana salahnya dan puncanya sehingga menyebabkan angka kes isu ini semakin meningkat saban hari, bahkan hampir setiap hari kita dihidangkan dengan kes-kes seumpama ini. Kes ini juga bukan sesuatu yang baru, bahkan sudahpun berlaku diawal ketamadunan manusia, yang membezakannya pula hanyalah masa dan juga alasan pengguguran bayi dilakukan. Dari segi etika, moral dan hak manusia, pengguguran bayi boleh dianggap sebagai satu kes yang merupakan satu hak wanita untuk melakukannya, namun dari segi impak jangka panjangnya pula ianya suatu perkara yang tidak boleh sewenang-wenangnya dilakukan dan diterima oleh masyarakat kita begitu sahaja. Pengguguran bayi melibatkan nyawa janin yang sedang berkembang dan mempunyai potensi untuk hidup. Justeru ianya adalah suatu perkara yang perlu dilihat dan dikaji dengan lebih teliti dari aspek perundangan dan hukuman sewajarnya kepada pesalah kes ini. Apa yang jelas disini, pengguguran bayi bukan lagi suatu isu minoriti, tetapi ianya bersifat domestik dan sejagat, dimana ianya bukan sahaja berlaku di negara kita sahaja bahkan diseluruh dunia dengan alasan yang pelbagai.
Bab 1 : Pengguguran Bayi dalam Lingkungan Masyarakat Secara Umum
a) Definisi Pengguguran
Pengguguran menurut Kamus Dewan Edisi Keempat berasal dari perkataan “gugur” yang membawa kepada pelbagai maksud antaranya jatuh sebelum masak, luruh, buang atau hilang. Manakala bagi tujuan define ‘gugur’ di dalam artikel ini ia membawa maksud lahir sebelum cukup bulan. Perkataan “pengguguran” pula memberi erti perihal atau perbuatan menggugurkan, atau mengeluarkan anak atau janin sebelum cukup bulan daripada rahim si ibu (dengan sengaja). Namun dari sudut yang lain pula kata terbitan daripada perkataan ‘gugur’ iaitu “keguguran” pula membawa erti melahirkan anak sebelum masanya dgn tidak sengaja dan anak tersebut meninggal dunia.(Kamus Dewan Edisi Kedua, 2007)
Jelas daripada definisi ini, kesimpulannya yang dinamakan pengguguran itu ialah apabila wujud satu bentuk perbuatan atau dengan tindakan secara langsung atau dengan perantaraan peralatan atau sebagainya dengan tujuan membuang atau mengeluarkan janin atau bayi daripada tempat asalnya iaitu rahim wanita dengan sengaja dan dengat niat untuk mematikan. Jelas juga disini, elemen niat dalam melakukan perbuatan ini adalah sangat penting dalam mendefinisikan pengguguran tersebut dan penggunaannya dalam menentukan hukum kepada pesalah jenayah ini. Secara literalnya, proses keguguran merupakan pembuangan atau pengeluaran embrio atau fetus dari rahim ibu. Ianya boleh berlaku secara spontan dan di dalam kebanyakan kes di mana ianya berlaku secara spontan adalah disebabkan oleh keabnormalan dari segi struktur atau kromosom janin yang dikandung. Manakala perkataan ‘pengguguran’ itu sendiri membawa kepada makna perbuatan yang disengajakan.
Pengguguran boleh dilakukan atas alasan terapeutik seperti menyelamatkan nyawa ibu yang mengandung, atau kecacatan pada janin yang tidak memungkinkan kehidupan. Manakala, pengguguran yang dilakukan tanpa alasan kukuh merupakan masalah yang mengundang pelbagai kontroversi dan aspek perdebatan dari sudut etika, agama dan moral. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 40-50 juta wanita di seluruh dunia menggugurkan kandungannya setiap tahun atau dalam ertikata yang lain 125,000 kandungan digugurkan setiap hari. Di USA, 20% dari wanita yang hamil akan menggugurkan kandungannya dengan statistik lebih dari 3000 pengguguran setiap hari. Tidak ada keseragaman dari segi undang-undang terhadap isu pengguguran ini. Ada negara yang membenarkan ianya dilakukan secara sah manakala ada negara yang tidak membenarkannya dan tidak kurang pula di mana tiada apa-apa undang yang diwartakan terhadap isu ini.
b) Perspektif Ilmu Perubatan
Dari sudut ilmu perubatan atau secara saintifiknya, pengguguran dimaksudkan sebagai proses penamatan kandungan dalam Rahim (uterus) sebelum fetus (janin) mencapai tahap keboleh hidupan (viability), iaitu sewaktu fetus (janin) itu mampu untuk hidup dengan bantuan alat bantuan tertentu, iaitu tempoh neo-natal dan akhirnya dia mampu untuk hidup di luar Rahim tanpa sebarang alat bantuan. Menurut ilmu perubatan di dalam bidang obstetric dan ginekologi, pennguguran membawa maksud pembuangan hasil persenyawaan atau konseptus sebelum tamat tempoh kehamilan yang normal. Pengguguran berlaku apabila rahim dikosongkan secara pramasa dan dikenali sebagai penamatan kehamilan (termination of pregnancy) yang tidak dikehendaki secara sengaja. Dalam kalangan ahli perubatan, pengguguran biasanya dirujuk sebagai perbuatan penamatan kehamilan secara tidak sah atau illegal (abortion), sebaliknya pula apabila ahli perubatan merujuk perbuatan menggugurkan kandungan atas sebab-sebab perubatan yang memerlukannya berbuat sedemikina disebut sebagai penamatan kehamilan atau termination of pregnancy. Secara rangkumannya, walau apa jua istilah yang digunakan oleh ahli perubatan dalam merujuk kepada perbuatan pengguguran kandungan, kesan dan prosesnya tetap sama iaitu mengosongkan Rahim daripada sebarang janin (fetus) sebelum tempoh penamatan kehamilan yang sebenarnya. Secara mudahnya, janin yang digugurkan itu tidak mempunyai keboleh hidupan atau keboleh upayaan untuk hidup walaupun tanpa alat bantuan diberikan. Apa yang membezakan antara keduanya adalah hanya dari sudut perundangan, moral dan etika, diantara tindakan yang sah ataupun terlarang.
Berikut merupakan istilah-istilah perubatan yang digunakan untuk merujuk kepada proses pengguguran atau keguguran:
· Pengguguran spontan (keguguran): Kematian atau penyingkiran bayi dari rahim akibat trauma tak sengaja atau sebab semula jadi. Keguguran sebegini boleh disebabkan replikasi kromosom tak betul, atau faktor persekitaran lain.
· Pengguguran aruhan: Pematian atau penyingkiran bayi dari rahim yang dilakukan dengan sengaja oleh manusia sendiri. Pengguguran seperti ini boleh dikategorikan kepada:
· Pengguguran terapeutik: Pengguguran yang dilakukan bagi:
· Menyelamatkan nyawa wanita yang hamil
· Memelihara kesihatan fizikal atau mental wanita
· Menghentikan kehamilan yang akan melahirkan bayi yang mempunyai gangguan kongenital yang membawa maut atau keadaan tak sihat yang teruk
· Mengurangkan jumlah fetus secara berpilih, untuk mengurangkan risiko kesihatan yang berkaitan dengan kemahilan berganda
· Pengguguran elektif: Pengguguran untuk sebab-sebab lain.
c) Perspektif Islam
Dalam perspektif Islam, pengguguran atau al-ijhad dari segi bahasa memberi maksud jatuh janin yang telah sempurna dan telah ditiupkan roh, tetapi belum hidup. Al-ijhad juga mempunyai persamaan maksud dengan perkataan seperti al-izlaq (tergelincir), al-isqat (jatuh), al-imlas (tergelincir), dan al-islab (jatuh). Ulama’ mazhab Syafie seperti Iman Ghazali banyak menggunakan perkataan al-ijhad dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin.
d) Situasi Semasa Pengguguran Bayi
Pengguguran bayi merupakan satu perbuatan yang zalim jika ianya dilakukan secara tidak sah dan tanpa sebab musabab yang memerlukan perbuatan itu dilakukan. Perbuatan ini bertentangan dengan fitrah manusia yang pada hakikatnya cenderung kepada perasaan menyayangi dan disayangi. Islam sangat mencela perbuatan ini kerana ia merosakkan keharmonian masyarakat setempat serta menganggu proses perkembangan sistem kehidupan manusia dalam usaha melahirkan generasi-generasi baharu yang berkualiti daripada pelbagai aspek sebagai persediaan untuk memimpin agama dan negara pada masa akan datang. Kebiasaanya kes pengguguran bayi akan diikuti dengan kes pembuangan bayi. Secara purata, pengguguran kandungan di seluruh dunia dianggarkan melibatkan 50 juta kes setiap tahun iaitu sebanyak 30 juta melakukannya secara sah, sementara 20 juta lagi dibuat secara 'haram'.
Di luar negara, khasnya di Amerika Syarikat, dua pertubuhan utama, iaitu Federal Centers for Disease Control (FCDC) dan Alan Guttmacher Institute (AGI), telah mengumpulkan data pengguguran kandungan yang menunjukkan bahawa jumlah nyawa yang melayang dalam kes pengguguran kandungan di Amerika, iaitu hampir 2 juta, lebih banyak dari jumlah mangsa perang mana pun dalam sejarah negara itu. Sebagai gambaran, jumlah mangsa perang tentera AS dalam tiap-tiap peperangan adalah: Perang Vietnam 58,151 orang, Perang Korea 54,246 orang, Perang Dunia II 407,316 orang, Perang Dunia I 116,708 orang, Civil War (Perang Sipil) 498,332 orang. Secara keseluruhan, dalam sejarah dunia, jumlah kematian kerana pengguguran kandungan jauh melebihi jumlah mangsa seluruh peperangan jika digabungkan keseluruhannya (www.genetik2000.com).
Data tersebut ternyata selari dengan perangkaan yang menunjukkan bahawa majoriti rakyat Amerika (62 %) berpendirian bahawa hubungan seksual dengan pasangan luar nikah lain, adalah boleh dilakukan. Mereka beralasan ianya biasa diamalkan dan semua orang mesti melakukannya (James Patterson dan Peter Kim, 1991, The Day America Told The Thruth dalam Dr. Muhammad Bin Saud Al Basyr, Amerika di Ambang Keruntuhan, 1995, hal. 19).
Menurut Ketua Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof Dr Zainul Rashid Mohd Razi, pengguguran janin boleh memberikan implikasi yang besar kepada pelakunya. Antaranya, boleh menyebabkan jangkitan kuman pada saluran peranakan, selain berpotensi mengalami pendarahan di dalam perut yang boleh menyebabkan wanita tersebut pengsan atau maut.
Walau apapun sekarang, melihatkan kepada statistik yang dikeluarkan, ternyata isu pengguguran bayi kini semakin membarah dalam masyarakat dunia, sebab itu di awalnya tadi saya mengatakan bahawa isu ini bukan isu dalam masyarakat Malaysia semata bahkan ianya isu domestik dan sejagat yang boleh membantutkan kemajuan sesebuah negara. Penyelesaian kepada masalah ini perlu dan penentuan hukum secara tegas perlu untuk mempastikan isu ini dapat dibendung daripada terus berleluasa dan jika dikaji sekalipun, faktor pengguguran bayi biasanya mempunyai kaitan dengan factor-faktor pembuangan bayi, sebagai contoh, apabila berlaku peningkatan dalam kes rogol atau zina, secara logiknya kes pengguguran bayi secara haram dan pembuangan bayi secara haram juga akan turut meningkat.
Manusia mana yang sanggup untuk hidup dalam perasaan malu jika masyarakat mencemuh dirinya yang tidak berkahwin tetapi mengandung, dan sudah tentunya anak itu ialah anak luar nikah, anak yang tidak sah tarafnya, namun, dari sudut etika dan moral Islamiyyah, perbuatan membunuh bayi (menggugurkan kandungan) itu lebih teruk cemuhannya daripada malu mengandungkan anak luar nikah. Islam agama fitrah dan syumul dengan undang-undang yang lengkap dan sesuai untuk manusia disepanjang zaman. Dan dalam Islam telah pun hangat diperdebatkan tentang isu ini, tentang hukumnya untuk kemaslahatan ummah. Dan setiap hukum dan undang-undang yang tercatat dan dikeluarkan oleh fuqaha adalah penting dan perlu untuk menjaga kemaslahatan ummah sejagat.
Bab 2: Qawa’id Fiqhiyyah dalam Penentuan Hukum Pengguguran Bayi
a) Pengertian Qawa’id Fiqhiyyah
Kaedah dari sudut bahasa bermaksud asas. Dari sudut istilah pula ialah perkara yang dipraktikkan daripada masalah atau perkara pokok kemudian dipraktikkan terhadap perkara-perkara furu’ atau perkara-perkara cabang. Qawa’id fiqhiyyah ialah kaedah fekah dalam undang-undang Islam yang menjadi asas untuk memahami dan mengembangkan feqah islam tentang kaedah-kaedah hukum. Terdapat beberapa factor yang menyebabkan kemunculan kaedah fiqh ini antaranya (1) terdapat nas-nas yang dapat ditafsirkan dengan berbagai-bagai. (2) Munculnya kaedah ini ekoran dalil-dalil syarak yang diperselisihkan oleh fuqaha’ dan (3) terdapat kaedah-kaedah umum yang muncul dalam perkembangan hidup manusia dari satu generasi ke generasi lain untuk disesuaikan dengan masalah-masalh furu’.
Dalam Qawa’id fiqhiyyah terdapat lima kaedah utama yang disenaraikan oleh fuqaha’ dalam menentukan hukum:
1. Setiap Perkara Dinilai Berdasarkan Niat dan Matlamat.
2. Keyakinan Tidak Hilang Dengan Keraguan.
3. Kesukaran Membawa Kemudahan.
4. Bahaya Mesti Dihapuskan.
5. Adat Menjadi Hakim.
Dalam isu pengguguran bayi, kaedah fiqh ada menggariskan satu prinsip iaitu bahaya mesti dihapuskan dan membawa maksud secara mudahnya tiada boleh melakukan sesuatu yang bersifat mudarat kepada diri sendiri dan memudaratkan orang lain. Sumber pengambilan kaedah ini berdasarkan hadis Nabi saw yang bermaksud:
“Tidak boleh bahaya dan tidak membahayakan.”
(Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah)
Islam memandang mulia pada setiap kehidupan dari detik ianya dijadikan dan adalah menjadi tanggungjawab semua untuk memelihara kehidupan atau hayat itu. Firman Allah swt
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.”
(Surah Al Isra’ ayat 31)
(Surah Al Isra’ ayat 31)
“Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar.”
(Surah Al Isra’ ayat 33)
(Surah Al Isra’ ayat 33)
Pengguguran adalah sesuatu yang memudaratkan janin kerana tindakan tersebut adalah bertujuan mematikannya. Ia juga boleh memudaratkan nyawa si ibu kerana dalam sesetengah situasi, perbuatan menggugurkan kandungan itu boleh menyebabkan pendarahan yang kritikal kepada si ibu dan perkara ini sekaligus akan mengancam nyawa si ibu, lihat petikan dibawah dalam ilmu perubatan sendiri mengatakan sedemikian.
“Menurut Ketua Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof Dr Zainul Rashid Mohd Razi, pengguguran janin boleh memberikan implikasi yang besar kepada pelakunya. Antaranya, boleh menyebabkan jangkitan kuman pada saluran peranakan, selain berpotensi mengalami pendarahan di dalam perut yang boleh menyebabkan wanita tersebut pengsan atau maut.”
b) Pembahagian dan Penentuan Hukum Berdasarkan Qawa’id Fiqhiyyah
Melihat kepada perbahasan para fuqaha’ dalam memperdebatkan isu ini, secara ringkasnya hukum pengguguran janin terbahagi kepada dua keadaan:
i) Pendapat yang disepakati fuqaha, iaitu bahawa haram hukumnya melakukan pengguguran kandungan setelah ditiupkannya ruh (usia kandungan empat bulan).
Melihat kepada pernyataan ini, perlu dilihat ketika mana kandungan itu ditiupkan roh, dalam Al Quran telah menceritakan secara terpeinci perihal perkembangan bayi bermula daripada sebelum percantuman atau persenyawaan antara benih lelaki dan benih perempuan menerusi firman Allah swt dalam Surah Al Mu’minun:
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan nuftah dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Suci lah Allah, Pencipta Yang Paling Baik. Kemudian, sesudah itu, sesungguhnya kamu sekalian benar-benar akan mati. Kemudian, sesungguhnya kamu sekalian akan dibangkitkan (dari kuburmu) di hari kiamat.”
(Al Mu’minun ayat 12 – 16)
(Al Mu’minun ayat 12 – 16)
Hadis Nabi saw daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas’uud r.a. beliau berkata Rasulullah saw telah bersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan,
“Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya roh dan dia diperintahkan dengan empat kalimah; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.)
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.)
Dalam menentukan bilakah roh ditiupkan, ulama’ berbeza pendapat, namun para fuqaha’ sepakat menentukan hukum pengguguran adalah haram dan merupakan satu perbuatan jenayah dalam Islam kerana membunuh janin yang tidak berdosa dan bernyawa serta mempunyai potensi untuk hidup.
Dalilnya pengharamannya pula adalah seperti berikut.:
Firman Allah swt:
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kemiskinan. Kami akan memberikan rezeki kepada mereka dan kepadamu."
(Surah al-An’am ayat 151)
(Surah al-An’am ayat 151)
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu karena takut miskin. Kami akan memberikan rezeki kepada mereka dan kepadamu.”
(Surah al-Isra’ ayat 31)
(Surah al-Isra’ ayat 31)
“Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan (alasan) yang benar (menurut syara’).”
(Surah al-Isra` ayat 33)
(Surah al-Isra` ayat 33)
“Dan apabila bayi-bayi yang dikubur hidup-hidup itu ditanya karena dosa apakah ia dibunuh."
(Surah at-Takwiir ayat 8-9)
(Surah at-Takwiir ayat 8-9)
Berdasarkan dalil-dalil ini maka pengguguran kandungan adalah haram pada kandungan yang bernyawa atau telah berusia 4 bulan dan lebih, sebab dalam keadaan demikian bererti pengguguran kandungan itu adalah suatu tindakan jenayah pembunuhan yang diharamkan Islam.
ii) Status hukum pengguguran bayi sebelum ditiupkan roh (usia kandungan belum mencapai empat bulan)
a) Boleh digugurkan
Para fuqaha’ berbeza pendapat tentang hukum pengguguran bayi (janin) sebelum ditiupkan roh (kandungan belum mencapai usia empat bulan), namun kebanyakan daripada mereka mengatakan pengguguran bayi (janin) ketika ini adalah haram.
Pengguguran yang dilakukan ketika janin belum mencapai tahap atau linkungan usia empat bulan atau 120 hari, maka hukumnya dikatakan harus atau ja’iz (tidak apa-apa). Ini berdasarkan pendapat bahawa pengguguran nutfah sebelum menjadi janin, dari segi hukum dapat disamakan dengan ‘azl (coitus interruptus) yang dimaksudkan untuk mencegah terjadinya kehamilan. ‘Azl dilakukan oleh seorang laki-laki yang tidak menghendaki kehamilan perempuan yang digaulinya, sebab ‘azl merupakan tindakan mengeluarkan sperma di luar vagina perempuan. Tindakan ini akan mengakibatkan kematian sel sperma, sebagaimana akan mengakibatkan matinya sel telur, sehingga akan mengakibatkan tiadanya pertemuan sel sperma dengan sel telur yang tentu tidak akan menimbulkan kehamilan.
Rasulullah saw telah membolehkan ‘azl kepada seorang laki-laki yang bertanya kepada baginda mengenai tindakannya mempergauli hamba perempuannya, sedangkan dia tidak menginginkan hamba perempuannya itu hamil. Rasulullah saw bersabda kepadanya:
“Lakukanlah ‘azl padanya jika kamu suka!”
(Hadis riwayat Ahmad, Muslim, dan Abu Dawud)
(Hadis riwayat Ahmad, Muslim, dan Abu Dawud)
b) Haram digugurkan
Hujahnya, kehidupan sesuatu itu perlu dihormati. Iman al-Ghazali mengatakan bahawa janin tetap dihormati sebagai sesuatu yang mempunyai potensi untuk hidup kerana keboleh upayaanya untuk berkembang menjadi bayi yang cukup sifat. Maka memusnahkannya iaitu dengan menggugurkannya termasuk dalam perbuatan memusnahkan sesuatu yang bermanfaat, iaitu haram hukumnya. Kata Ibnu Juzi ,bila mani sudah melekat di dinding rahim ia tidak lagi boleh diganggu. Lebih teruk lagi apabila ia sudah bersifat. Malah apabila ia sudah bernyawa perbuatan menggugurkannya itu jelas merupakan pembunuhan manusia tanpa khilaf di kalangan para fuqaha’. (Al-Qawanin al-Fiqhiyah:141). Kata al-Hattab, Ibn al-`Arabi berpendapat para ulama sepakat mengatakan pengguguran sebelum tempoh empat puluh hari selepas persetubuhan berlaku adalah tidak harus.(Mawahib al-Jalil: 3/477). Kata Ibn Hajar al-Haitami, para fuqaha berbeza pendapat tentang hukum perbuatan menyebabkan keguguran kandungan yang belum bernyawa, iaitu sebelum genap 120 hari. Mengikut Ibn al-Imad dan para fuqaha lain lagi ia nya perbuatan haram.(Tuhfat al-Muhtaj:8/241).
iii) Pengguguran yang diharuskan syarak
a) Nyawa ibu terancam
Islam itu agama yang fleksibel dan memudahkan, tidak semestinya sesuatu perkara itu apabila dihukumkan haram maka, tiada tasamuh untuk kes yang perlu dilihat dan dikaji secara mendalam. Menyelamatkan kehidupan adalah sesuatu yang diperintahkan oleh Islam, sesuai firman Allah SWT:
“Barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.”
(Surah al-Ma’idah ayat 32)
Kaedah fiqh dalam masalah ini menyebutkan:
(Surah al-Ma’idah ayat 32)
Kaedah fiqh dalam masalah ini menyebutkan:
“Idza ta’aradha mafsadatani ru’iya a’zhamuha dhararan birtikabi akhaffihima”
Yang bermaksud: “Jika berkumpul dua mudharat (bahaya) dalam satu hukum, maka dipilih yang lebih ringan mudharatnya.” (Abdul Hamid Hakim, 1927, Mabadi` Awaliyah fi Ushul Al Fiqh wa Al Qawa’id Al Fiqhiyah, ms.35)
Dalam hal ini, nyawa ibu lebih diutamakan kerana mengambil kira ibu sebagi salah satu tonggak dalam kehidupan rumah tangga. Terdapat banyak contoh perkara atau penyakit yang biasanya memerlukan si ibu untuk menggugurkan kandungannya bagi menjamin keselamatan nyawa ibu itu tadi sebagai contoh penyakit kanser yang dikesan di awal kehamilan seperti kanser payudara, kanser servik, kanser paru-paru yang memerlukan rawatan pembedahan, kemoterapi dan radioterapi; dimana jika si ibu meneuskan kandungan boleh menjejaskan kesihatan si ibu dan juga kandungan di mana boleh memberi kesan yang lebih teruk. Dalam hal ini ulama’ sepakat mengatakan harus untuk si ibu menggugurkan kandungannya.
b) Pengguguran disebabkan kecacatan
Dari segi perubatan, pada umumnya kecacatan terbahagi kepada tiga jenis iaitu kecacatan fizikal, kecacatan mental dan kecacatan kombinasi kedua-duanya.
Terdapat berbagai kecacatan yang berlaku pada janin, antaranya ialah kecacatan fizikal seperti pekak, buta mata, sumbing bibir, tiada otak, kepala besar dan sebagainya. Manakala kecacatan mental pula ialah seperti kelembapan otak, peradangan otak dan sebagainya. Tidak semua kecacatan ini dapat dikesan oleh doktor melalui peralatan dan ujian yang dilaksanakan.
Apabila kecacatan dikesan dalam perkembangan janin dalam rahim ibu, dan jika kecacatan itu mampu mengancam keselamatan si ibu, hukum pengguguran bayi tadi adalah harus bagi menjamin keselamatn si ibu. Kaedah yang sama iaitu “Jika berkumpul dua mudharat (bahaya) dalam satu hukum, maka dipilih yang lebih ringan mudharatnya.”
Kesimpulan
Pengguguran bayi merupakan perbuatan yang haram disi agama Islam dan rasanya semua agama juga mengharamkan penganutnya untuk melakukan perbuatan ini. Namun perlu dilihat untuk tujuan apa perbuatan itu dilakukan. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-26 yang bersidang pada 7 - 8 Mac 1990 telah membincangkan Pengguguran Kandungan Kerana Kecacatan. Muzakarah telah memutuskan bahawa haram menggugurkan janin di dalam kandungan, kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.
Kehidupan itu perlu dihormati, tidak kira ianya masih belum berupaya untuk hidup dengan sendirinya ataupun tidak, melakukan pembunuhan yakni dengan melakukan pengguguran bayi (janin) secara haram dan tanpa sebab musabab yang memerlukan seseorang melakukannya adalah perihal perkara yang menyalahi syarak bahkan ianya merupakan perkara yang menyalahi etika dan moral Islam. Setiap hukum yang dikeluarkan dalam Islam pula mengambil kira kemaslahatan individu bahkan ianya juga melihat dari segi kemaslahata ummah yang paling penting. Kaedah fiqh untuk menentukan hukum pengguguran bayi pula dilihat lebih kepada menjaga kemaslahatan individu yakni ibu yang mengandungkan bayi tersebut.
Dengan pengharaman pengguguran bayi secara haram dan tidak sah serta tanpa factor yang memerlukan untuk melakukan sedemikan diharap akan dapat membendung masalah pengguguran bayi ini terutamanya di Malaysia.
No comments:
Post a Comment