Assalamualaikum wbt...
Syukur Alhamdulillah, terasa sangat lama tidak mengupdate blog ni, mungkin kerana kesibukan dengan tugasan kerja dan demam PRU-13, apa-apa pun insyaAllah, rasa bersemangat kembali untuk menulis apa yang terkandung dalam isi hati mungkin setakat dari malam semalam hingga sekarang. Isunya bukan mengenai pilihanraya, cuma ingin sekali rasanya saya luahkan mengenai bezanya penerimaan ilmu untuk umat Islam kita di Malaysia dan di Turki.
Baru sahaja menyelesaikan bacaan naskah Secangkir Teh Pengubat Letih karya Hasrizal Abdul Jamil yang berkisar mengenai travelog perjalanan hidup beliau di bumi Turki, bumi anbiya' dan para sahabat. InsyaAllah, bukan nak bagi ulasan tentang naskah tersebut cuma terasa ingin highlightkan beberapa perkara yang menarik perhatian saya dengan bab-bab tertentu dalam naskah tersebut. Antaranya:
Islam Popular, Islam Murahan
Anehkan, ada juga istilah Islam popular dan Islam murahan? Baiklah baca dan teliti betul-betul apa yang ingin saya tulis dan katakan. Keghairahan terhadap pengetahuan dan kemahuan yang tinggi untuk mencari jawapan tentang sesuatu perkara hingga ke akar umbi, seolah-olah sudah pudar dari ummah yang pernah hebat dan bijak pandai ini. masing-masing terlalu cepat berpuas hati dengan khabar angin, hearsay yang tiada nilai pengetahuan, semuanya superficial. Sedangkan Allah swt sebut dalam al Quran:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."
(Al-Hujuraat ayat 6)
Itulah yang saya rasa berlaku dengan umat Islam sekarang terutamanya di Malaysia, terlalu mengambil mudah segala maklumat yang mereka dapat, terutamanya yang datang daripada media arus perdana. Berlainan jika kita lihat di Turki, budaya penterjemahan buku SANGAT aktif, seperti jua di Indonesia. Lihat sahaja di Istanbul, malah di tempat-tempat seperti Samsun dan Konya, aktiviti mencari ilmu begitu ghairah dilakukan, mungkin kerana tekanan luar biasa dari dalam dan luar terhadap Turki, namun pointnya disini, lihat betapa orang Turki sangat menghargai ilmu, bahkan diceritakan dalam naskah ini, apabila penulis menceritakan pengalamannya dengan seorang pakcik yang bekerja sebagai cleaner di Bolvadin yang tahu walaupun sedikit tentang Malaysia, siapa kenal Bolvadin, itulah antara tempat yang terpencil di Turki, namun kalaulah seorang pakcik tua bekerja sebagai seorang cleaner di situ pun ada maklumat semasa tentang hal luar negara apatah lagi jika orang mudanya. Lihat betapa uniknya Turki, dan betapa berbezanya budaya ilmu di Turki berbanding kita di Malaysia. Maafkan saya, bukan ingin memuji Turki melebih-lebih tetapi itulah antara hakikat yang perlu kita terima.
Berbanding dengan seorang Arab Jordan yang juga juga ditemui oleh penulis naskah, yang begitu mudah ditipu apabila penulis mengatakan bahawa Malaysia terletak di barat Palestin. Lucu bukan. Bukan jua saya disini bermaksud untuk merendah-rendahkan bangsa Arab, tetapi kesan hilangnya semangat pencarian dan menuntut ilmu dengan betul-betul dan diselidiki setiap maklumat yang ada begitu luntur dan pudar oleh umat Islam sekarang.
Turki berIslam bukan dengan Islam murahan. Tahukah anda di Turki, khutbah Jumaatnya sungguh pendek, manakala aktiviti seperti kuliah Subuh dan kuliah Maghrib amat jarang ditemui. Di Turki tiada ustaz-ustaz, tidak ada penceramah bebas. jauh sekali ustaz-ustazah selebriti. Itulah kenyataannya di Turki. Saya melihat umat Islam di Malaysia, sememangnya sudah cukup beruntung dengan kuliah agama dalam media arus perdana, ceramah agama di setiap malam-malam minggu, terisi dengan makanan kerohanian buat kita. Alhamdulillah, namun, sedikit kekurangan apabila, segelintir daripada kita mengambil apa yang ditonton dalam kuliah agama di media arus perdana, apa yang didengari dalam ceramah-ceramah agama malam-malam minggu, tetapi seolah-olah masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Fenomena dengar, kemudian terima bulat-bulat pun ada dan bagi saya agak kurang sedap rasanya. Belum cukup mantap untuk kita sama-sama berusaha untuk menjadi yang terbaik. Sepatutnya bagi saya budaya dengar, teliti, kemudian buat kajian balik, dalami lagi mengenai sesuatu perkara itu, itulah yang terbaik bagi kita sebagai umat Islam. Biar percambahan ilmu itu ada.
Di Turki walaupun tiada ustaz-ustazah, namun dari mana mereka mendapatkan ilmu dan idea? Lihat, apa yang mencubit kehidupan mereka adalah artikel surat khabar dan ucapan-ucapan di televisyen, bukan kuliah Subuh atau kuliah maghrib. Sehinggakan orang Turki ni, apabila tibanya waktu siaran berita-berita di televisyen, tiada lagi sesuatu perkara pun yang mampu menganggu gugat perhatian mereka kepada penumpuan mereka kepada apa yang dilihat dan didengari, bahkan mereka amat beremosi jika mereka diganggu. Mereka sangat menghargai ilmu yang mereka dapat. Namun bagi saya, sayang di Malaysia ni, saya faham keadaanya, dengan sikap berat sebelah media arus perdana negara memburukkan lagi keadaan kita di Malaysia. Maklumat dan idea yang sampai kepada rakyat dilihat tidak telus dan terlalu tidak adil. Sudah terlalu terang dan nyata.
Kebanyakan tokoh dan penulis yang memberi impak kepada masyarakat Turki ialah para ilmuwan Islam yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah universiti, dimana jika kita lihat mereka inilah yang mempunyai idea dan buah fikiran yang tersusun. Di Malaysia, saya begitu kagum dengan masyarakat di negeri Kelantan, masyarakatnya majoriti mempunyai latar belakang agama yang baik. Anak-anak mereka kebanyakannya ditarbiyah dengan baik, dengan wadah Islamiyah yang tinggi, bahkan di bahagian pucuk pimpinan yang memimpinnya juga dilihat dari kalangan mereka yang bertaraf ulama'. Tidak hairan jika rakyat negeri Kelantan ini, walaupun mereka berhijrah keluar daripada negeri mereka sekalipun, tiada masalah bagi mereka untuk berdikari, bahkan identiti negeri dari segi loghat bahasanya tidak luntur. Negeri "Serambi Mekah" satu jolokan nama buat negeri ini. Budaya ilmu saya lihat di negeri ini setelah beberapa kali menjejakkan kaki kesini antara yang paling bercambah subur. Setiap minggu rasanya pasti ada kuliah agama yang diadakan baik dikawasan bandar, bahkan di kawasan kampung sekalipun. Dan tidak terkejut jika saya katakan, rata-rata mereka yang hadir ke kuliah agama ini adalah mereka yang juga tergolong dari golongan intelektual dan terpelajar, dan sudah pastinya mereka-mereka ini adalah antara golongan yang akan membuat bacaan balik tentang apa yang didengar.
Melihat kepada percambahan ilmu dinegeri orang, saya singgah sebentar melihat percambahan ilmu dinegeri saya sendiri iaitu Terengganu. Alhamdulillah, percambahan ilmu juga berlaku disini, bahkan saya rasa percambahan ilmu ada di serata Malaysia sebenarnya, cuma ditahap mana kita mengambilnya, adakah hanya mengambilnya secara bulat-bulat tanpa dibuat bacaan lanjut atau ditalaqqi dengan guru-guru yang lain tentang ilmu itu. Saya tidak memuji mana-mana negeri sekalipun, cuma hanya pandangan peribadi saya sahaja.
Betapa kita perlu lihat kembali, sejauh mana kita menghargai ilmu yang diberikan oleh Allah kepada kita, adakah hanya sekadar, dapat ilmu kemudian simpan atau kita dapat ilmu, kita teliti, dalami lagi, simpan, dan kemudian kita curahkan pula kepada orang lain. Jika di Turki kerana perkara seperti inilah yang menjadi antara faktor yang membuatkan AKP menang dalam pilihanrayanya. Budaya tekun mendengar penjelasan dan berFIKIR sebelum berkata-kata, memudahkan laluan mereka untuk menang. Rakyat yang sudah terbiasa dengan maklumat dan input daripada telesvisyen dan penelitian mereka tentang sesuatu isu banyak membantu mereka membuat pilihan yang tepat sewaktu pilihanraya. Di Malaysia, kita sudah terlalu dibudayakan dengan Islam popular, Islam murahan. Islam yang tidak mencetuskan fikir. Tetapi sekadar muntahan idea penceramah yang ditelan bulat-bulat tanpa proses oleh pendengar. Sekadar berita-berita putar belit yang dikeluarkan dan kita pula sebagai pendengar, terima bulat-bulat. Inilah antara budaya yang perlu diubah, dapat ilmu dan idea, teliti, fikir, nilai, simpan dan curahkan pula pada yang memerlukan.
Entri post saya kali ini, mungkin dilihat kurang enak untuk dibaca, namun ini hanyalah sekadar pandangan peribadi saya sahaja. Mungkin ada yang berpandangan lain daripada saya, dan setiap perbezaan itu kita raikan. InsyaAllah. Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment