Wednesday, 24 April 2013

Unsur Dinamika Dalam Ibadah dan Perkaitannya Dengan Tazkiyatun Nafs


Pendahuluan
Hari ini mata dan hati manusia digemparkan dengan pelbagai penyakit hati dalam kalangan umat Islam hari ini seperti yang pernah pernah dialami oleh umat-umat Islam yang terdahulu dan umat-umat yang bukan Islam. Misalnya penyakit malas bekerja tetapi hendak kaya cepat melalui jalan yang tidak halal lantas untuk memenuhi tuntutan itu maka ada yang sanggup menipu dengan menggunakan ayat-ayat  Allah S.W.T sebagai topeng, sanggup menfitnah semata-mata kerana ingin kekal dihormati dan berkuasa dalam pelbagai jawatan  dan malas melaksanakan tugasan yang telah diamanahkan, sebaliknya sibuk dengan urusan kerja yang langsung tidak mendapat berkat dengan apa yang dikerjakan itu.
Ada juga yang suka mencari kelemahan dan menjaga tepi kain orang sedangkan dalam masa yang sama kelemahan sendiri diabaikan. Ada juga yang melihat amalan-amalan agama yang dianjurkan oleh Islam sebagai ekstremis, ketinggalan zaman dan mengongkong pergerakan seseorang individu Muslim, kerana itu ada diantara kita yang berusaha untuk melepaskan diri daripada ikatan pengongkongan tersebut agar mereka dapat bebas dalam menentukan hala tuju dan kehidupan mereka tanpa mereka sedar bahawa mereka sudahpun terjerumus kelembah kehinaan Allah S.W.T.
Senang ceritanya terdapat seribu macam penyakit yang berpunca daripada hati manusia yang kotor dan perlu diatasi, dirawat dan dibersihkan semula dengan segera. Kesemuanya termasuk ke dalam sunnah-sunnah lubang biawak yang pernah dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadis baginda yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dalam sahihnya daripada Abu Sa’id al Khudri r.a[1];
Ertinya:
“Kamu akan mengikut sunnah-sunnah orang-orang yang hidup sebelum daripada anda sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sehingga kalau mereka masuk kedalam lubang biawak sekalipun, kamu akan turut mengikut mereka. Kami berkata; Wahai Rasulullah: Bukankah sunnah orang-orang terdahulu itu golongan Yahudi dan juga Kristian?. Sabda baginda; Siapa lagi kalau bukan mereka?.”
(Al-Bukhari, Bab Qawlu al-Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Latatba’unna Sunana Man Kana Qabalakum, hadis no: 6775)
Bagi seorang individu Muslim yang beriman kepada Allah S.W.T amat penting baginya untuk melakukan proses rawatan dan pembersihan jiwa. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan untuk membersihkan jiwa daripada jangkitan-jangkitan penyakit hati yang boleh merosakkan dan menganggu gugat kualiti iman dan kualiti ibadah manusia dan sekaligus akan memberi kesan kepada akhlak seorang individu Muslim itu. Dan dalam proses pembersihan jiwa ini, konsisten dan istiqamah amat diperlukan kerana manusia itu sering terdedah kepada dosa dan kesalahan. Syaitan dan nafsu tidak akan pernah puas dan berhenti untuk menggoda manusia sehingga manusia itu sama-sama bersama dengan mereka menemani mereka didalam neraka kelak.
Mekanisma pelaksanaan proses pembersihan jiwa pula tidak boleh dilakukan secara sembrono atau sesuka hati. Kerana kita sudah diberikan panduan dan pedoman untuk itu iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Dan dalam bab ibadah juga ada unsur-unsur pembersihan jiwa kerana dalam setiap ibadah itu perlunya disertakan dengan hadirnya rasa ikhlas dalam hati supaya setiap ibadah itu diterima oleh Allah S.W.T. Dalam ajaran Islam jika ibadah yang dilakukan tidak disertai dengan akhlak yang baik maka ibadah-ibadah yang dilakukan tersebut tidak bernilai bahkan tidak diterima oleh Allah S.W.T. Allah S.W.T yang bersih sifatnya sudah tentu mengutamakan kebersihan diri insan zahir dan batin.[2] (Ghazali Darusalam, Dinamika Ilmu Akhlak Islamiah; m/s 10-11 )
Justeru aspek pelaksanaan ibadah secara sempurna amat penting dalam pembentukan nilai akhlak dalam diri individu Muslim yang mengaku beriman kepada Allah S.W.T. Persoalan unsur dinamik dalam pelaksanaan ibadah itulah yang akan dikupas nanti dan hubungannya dengan pembersihan jiwa manusia. Bagaimana unsur dinamik didalam ibadah mampu membina akhlak mulia dalam diri seorang individu Muslim?. InsyaAllah itu adalah perkara yang akan dikupas didalam tugasan ini.
Orang yang beribadah dan melakukan pembersihan jiwa tanpa mengikut acuan yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W bererti telah menyakitkan Rasulullah dan melihat seolah-olah  dia lebih pandai daripada Rasulullah itu sendiri dalam persoalan pembersihan jiwa itu.
Firman Allah S.W.T:
Ertinya:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri”(orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu, kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat, yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (Al-Nisa’: 59)
Semoga dengan kupasan tajuk ini,dapat memberikan sedikit kefahaman kepada kita tentang pentingnya ibadah yang sempurna dalam pembentukan nilai akhlak yang mulia melalui proses pembersihan jiwa.

Bab 1:       Definisi Dinamik, Pembersihan Jiwa dan Kepentingannya.

a) Definisi Dinamik Dalam Konteks Pembersihan Jiwa. 

Dalam memahami bab pelaksanaan proses pembersihan jiwa melalui ibadah yang dilaksanakan, kita perlu tahu unsur-unsur dinamik yang ada dalam sesuatu ibadah yang dilaksanakan. Berdasarkan kamus dewan edisi keempat, dinamik diertikan sebagai bertenaga dan berkekuatan serta mampu membuat penyesuaian serta menerbitkan pembaharuan dan kemajuan. Dalam masa yang sama juga dinamik diertikan sebagai cabang ilmu mekanik yang berkaitan dengan daya dan hubungannya dengan gerakan jasad. Secara literalnya dan mudah difahami, unsur dinamik ini mempunyai kaitan dengan pergerakan yang kita lakukan dalam perlaksanaan ibadah itu sendiri, sebagai contoh kita melakukan ibadah solat, dan dalam solat itu adanya pergerakan jasad kita seperti tunduk  ketika ruku’ dan sujud ketika rukun sujud dilakukan. Unsur dinamik yakni peregerakan fizikal anggota tubuh manusia yang disertyai dengan nilaian dalam(kerohanian) diri manusia iaitu hati yang bersih dan ikhlas ini perlu ada dalam sesuatu ibadah yang dilaksanakan supaya pembentukan dan pembinaan nilai-nilai akhlak yang mulia dapat dicapai.
Begitu jua dalam ibadah seperti puasa, kita menahan diri daripada makan dan minum, tapi bukan itu sahaja yang perlu dikawal dan ditahan, tetapi jua hawa nafsu kita. Dan secara mudahnya, jika ibadah puasa itu dilaksanakan dengan sempurna dan dengan keikhlasan hati semata-mata kerana Allah S.W.T, maka ganjarannya nanti adalah ketakwaan diri kepada Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T:
Ertinya:
“Wahai orang-orang yang beriman, difardhukan ke atas kamu puasa seperti mana yang difardhukan kepada mereka yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu akan menjadi orang yang bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)
Dalam konteks ini, jelas sekali, ibadah puasa itu dilaksanakan tujuannya untuk kita mencapai akhlak yang tertinggi melalui konsep takwa (takut kepada Allah S.W.T).
Seperti yang telah saya sebutkan diawalnya dalam pendahuluan sebelum ini, dari segi ibadah, keseluruhan yang terdapat dalam ajaran Islam itu jika tidak disertai dengan akhlak yang mulia maka ibadah-ibadah yang dilakukan tersebut adalah sia-sia dan tidak bernilai disisi Allah S.W.T. Konsepnya mudah Allah S.W.T itu bersih zatnya dan sifatnya, sudah tentu Dia mengutamakan kebersihan diri insan secara lahiriah dan batiniahnya.

b) Pembersihan Jiwa Sebagai Satu Proses Membina Akhlak Yang Mulia.

Dan dalam setiap unsur dinamik dalam pelaksanaan ibadah dalam ajaran Islam itu ada kaitannya dengan proses pembersihan jiwa. Pembersihan dalam bahasa Arab disebutkan sebagai al-Tazkiyah.

Firman Allah S.W.T:
Ertinya:
“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi  dalam perut mereka selain dari api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan ia tidak membersihkan mereka (dari dosa) dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Al-Baqarah: 174)
Manakala jiwa pula disebut sebagai al-Nafs. Al-Ghazali merujuk perkara ini kepada salah satu daripada dua pengertian berikut:
i.          pengertian yang merangkumi kesemua sekali kekuatan marah serta hawa nafsu yang terdapat dalam diri manusia, yang merupakan punca bagi semua sifat tercela yang terdapat dalam diri manusia.
ii.         hakikat diri serta zat sebenar diri manusia itu sendiri.

Firman Allah S.W.T yang menyebut tentang jiwa seperti:
Ertinya:
“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allah atau orang yang berkata: “Telah diberi wahyu kepadaku”, padahal tidak diberikan sesuatu wahyupun kepadanya dan orang yang berkata: “Aku akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah”. Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan sakratulmaut (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keteranganNya.” (Al-An’am: 93)
Dalam kitab Al-Maidani, bab al-Aqa’id al-Islamiyyah, Syeikh Abd Rahman Habannakah al-Maidani tokoh ulama besar daripada timur tengah menyimpulkan yang dikatakan sebagai al-Nafs menurut penggunaan al-Quran ialah sesuatu yang bersifat dalaman pada tubuh badan manusia dan tidak dapat ditangkapi hakikatnya yang sebenar, tetapi boleh dibimbing untuk melakukan kebaikan mahupun kejahatan. Ia mempunyai sifat-sifat dan kriteria-kriteria kemanusiaan yang mempunyai kesan ke atas tingkah laku  dan tindak-tanduk manusia.
Pembersihan jiwa pula secara rangkumannya membawa maksud membersihkan jiwa dan jiwa batiniah seorang individu Muslim itu daripada melakukan kejahatan dan dosa serta mengembangkan fitrah kemanusiaan yang ada didalam diri manusia sehingga membawa kepada istiqamah dan konsisten dalam melakukan segala yang diperintahkan oleh Allah S.W.T dan meninggalkan segala apa yang telah dilarang oleh Allah S.W.T dan juga mencapai darjat ihsan.
Dalam proses pembersihan jiwa terdapat dua dimensi utama yang perlu dilakukan dalam usaha pembersihan jiwa.
i.       Takalli- proses mengosongkan atau membuangkan segala kehendak-kehendak nafsu yang rendah dan dilarang Allah.
ii.         Tahalli- proses penghiasan atau pemakaian diri sejati manusia itu dengan sifat-sifat mulia dan terpuji.
Firman Allah S.W.T:
Ertinya:
“Hai jiwa yang tenang (nafsu mutmainah) kembalilah pada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam Jemaah hamba-hambaKu. Dan masuklah kedalam syurgaKu.” (Al-Fajr: 27-30)

Pembersihan jiwa yang sempurna pastinya akan mendorong manusia kea rah kesempurnaan iman, berkahlak dengan akhlak Rasulullah, mengikut sifat-sifat baginda yang zahir mahupun yang batin dan segala aspek keimanan yang disarankan oleh baginda.[3]
(Nabil hamid al-Ma’az, Tazkiyah al-Nufus, jil.1, hlm.12)

            Rangkumannya mudah, jika sempurna pembersihan jiwa yang dilakukan, secara ringkasnya, pasti pembinaan akhlak yang mahmudah, akhlak yang mulia seperti yang dituntut oleh Allah S.W.T dapat dicapai.

c) Kepentingan Pembersihan Jiwa

            Pembersihan mempunyai kedudukan yang cukup tinggi dan amat penting menurut pandangan al-Quran dan ianya adalah cukup jelas. Ianya merupakan salah satu agenda utama pengutusan Rasul oleh Allah ke alam ini.
Firman Allah S.W.T:
Ertinya:
“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad S.A.W) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam keadaan kesesatan yang nyata.” (Al-Jumuah: 2)
Pentingnya proses pembersihan jiwa ini sehinggakan Allah meletakkan kejayaan seseorang itu dalam hidupnya apabila berjaya membersihkan jiwanya dan kerugian yang bakal menimpa dan bakal ditanggung apabila mengabaikan dan mencuaikan proses pembersihan jiwa ini.

Firman Allah S.W.T:
Ertinya:
“Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya- yang sedia bersih- bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya- yang sedia bersih- itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” (Al-Syams: 9-10)

            Kepentingan pembersihan jiwa dalam Islam merangkumi semua apsek lapisan masyarakat. Bukan sahaja orang awam biasa, bahkan pemimpin, ulama, guru, pengawai kerajaan dan sesiapa sahaja perlu melakukan proses pembersihan jiwa. Menurut imam Hassan al-Banna adalah sesuatu yang mustahil umat dapat bangkit tanpa  adanya kebangkitan jiwa, rohani dan juga perasaan. Justeru itu, proses pembersihan jiwa perlu untuk membangkitkan jiwa manusia kearah kecintaan kepada Allah dan pengabdian diri hanya kepada Allah. Kedudukan pembersihan jiwa begitu besar dalam Islam, sehinggakan Rasulullah S.A.W sendiri sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T agar Dia sentiasa membersihkan jiwa baginda dan menjauhkan sesuatu yang boleh mengotorkannya. Secara tidak langsung, kita yang hanya insan biasa sebenarnya amat memerlukan pembersihan jiwa, jika seorang nabi yang telah Allah S.W.T bersihkan jiwanya jua memohon agar Allah membersihkan jiwanya, kita pula mestilah lebih untuk melakukannya secara lebih intensif dan berusaha bersungguh-sungguh untuk  melakukannya agar Dia membersihkan jiwa kita daripada kekotoran maksiat.

Bab 2:   Kaitan Unsur Dinamik Dalam Ibadah Dengan Pembersihan   Jiwa.

            Pembersihan jiwa merupakan binaan yang tertinggi yang mempunyai asas-asas dan kaedah-kaedahnya yang tersendiri, selain daripada memiliki cara dan kaedah-kaedahnya yang tersendiri, supaya tercapai segala matlamat dan mampu menghasilkan kejayaan dan kesan yang baik. Proses pelaksanaannya pula ditegaskan sekali lagi perlukan mekanisma yang berterusan dan konsisten. Dan apa yang dilazirkan melalui mekanisma itu adalah kesan langsung lagi positif ke atas an-nafs atau diri manusia, sehingga dapat menyembuhkan an-nafs itu daripada jangkitan penyakit-penyakit hati yang bisa menggugat kualiti iman dan takwa kepada Allah S.W.T.
            Antara amalan yang dapat memberikan kesan langsung dalam usaha pembersihan jiwa, dimana setiap amalan ini mempunyai unsur-unsur dinamik yang kalau difikir secara logik pun mempunyai kaitan dengan proses pembersihan jiwa secara tidak langsung seperti:
a) Solat
            Solat merupakan tiang agama, kunci syurga dan amalan hamba yang pertama yang akan dihisab oleh Allah S.W.T pada hari kiamat kelak.  Ianya merupakan ibadah yang mempunyai kedudukan yang tinggi dan agung dalam agama Islam dan mempunyai banyak keistimewaan. Satu ibadah yang wajib dilaksanakan oleh setiap mukallaf tidak kira samaada sedang bermusafir, sakit, orang kaya atau orang miskin, bahkan pemimpin atau orang bawahan sekalipun.
Firman Allah S.W.T
Ertinya:
“Dan dirikanlah kamu akan solat dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.” (Al-Baqarah: 43)
Dalam ibadah solat, pergerakan badan yang dilakukan ketika solat, tidak pernah dilakukan dalam mana-mana solat yang terdapat dalam  agama-agama lain. Ia bukannya gerakan yang terlalu mudah bahkan  jua bukannya gerakan yang terlalu payah, sebaliknya merupakan senaman yang unggul yang melibatkan cara yang mudah dan menarik. Pergerakan solat yang terdiri daripada berdiri, takbir, rukuk dan sujud, pada keseluruhannya adalah senaman badan yang bersifat menyeluruh dan unggul.
            Dalam menunaikan ibadah solat, perlu menjaga rohnya. Roh solat ialah niat, ikhlas, khusyuk dan juga hadir hati. Solat merangkumi zikir, munajat dan perbuatan. Tanpa kehadiran hati, maksud zikir dan munajat tidak akan terhasil, kerana ungkapan yang dikeluarkan oleh lidah, yang tidak mengambarkan apa yang ada di dalam hati, dikira sia-sia. Begitu juga, tidak menghasilkan maksud perbuatan-perbuatan yang dilakukan di dalam solat. Ini kerana maksud berdiri, ialah berkhidmat dan maksud rukuk dan sujud ialah menyatakan kerendahan hati dan pengagungan terhadap kebesaran Allah S.W.T. Jika hati tidak hadir, tidak tercapai maksud. Sesuatu yang tidak tercapai maksud dan perbuatan yang jua terkeluar daripada maksud melakukannya dalah perkara-perkara yang sia-sia dan akan menjadi rangka luar semata-mata.[4]
(Prof Madya Dr. Basri bin Ibrahim Al-Hasani Al- Azhari et al, Pembersihan Jiwa, hlm. 496)

            Dalam solat, ketika seseorang itu melakukan perbuatan berdiri sebelum memulakan ibadah solatnya itu, dia sebenarnya sedang menyahut seruan Allah S.W.T dan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dengan melakukan amalan ketaatan. Dia telah mengisytiharkan ketundukan dan kerendahan hatinya kepada Allah S.W.T dan merasa mulia  dengan melakukan pengabdian diri kepada Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T:
Ertinya:
“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan solat dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesame mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya.” (Asy-Syura: 38)
Khusyuk dalam solat adalah roh solat itu sendiri selain daripada tadabur dan juga hadir hati seperti yang digambarkan diatas. Solat yang tidak khusyuk tidak ubah seperti jasad tanpa ruh. Tidak ada kejayaan kepada orang mukmin yang tidak khusyuk dalam solat.

Firman Allah S.W.T:
Ertinya:
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.” (Al-Mukminun: 1-2)

            Menurut Ibn Taimiyyah yang dikatakan khusyuk dalam solat itu ialah pertama tawaduk dan merendahkan  diri  kepada Allah S.W.T dan kedua tenang dan tenteram.[5]
(Ibn Taimiyyah, al-Iman, hlm. 24)

Oleh kerana khusyuk dalam solat merupakan hasil pembersihan jiwa, maka khusyuk yang sempurna tidak akan berlaku kecuali kepada orang-orang yang benar-benar merasai kemanisan iman. Ada dua sebab yang boleh melahirkan khusyuk dalam solat iaitu pertama dengan melakukan latihan amali dan kedua dengan cara memperolehinya sebagai hasil daripada pembersihan jiwa yang tidak memerlukan mujahadah diri setiap kali menunaikan solat, kerana khusyuk itu bakat dan sifat yang tidak bercerai tanggal daripada diri seseorang.
Di antara rukun solat ialah sujud. Pada masa sujud inilah seseorang dianggap berada paling dekat dengan Allah S.W.T. Berada paling dekat dengan Allah S.W.T merupakan saat-saat yang paling manis bagi mereka yang beriman. Secara tidak langsung, jika seseorang yang sedang bersujud ketika solat itu merasai kemanisan dalam bersujud itu, kemanisan dalam beribadah itu, maka secara logiknya, hatinya akan mudah dilentur dan dibajai untuk proses pembersihan jiwa berlaku dengan sempurna.

b) Zakat dan Sedekah
            Zakat, satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh seorang mukallaf dalam Islam. Wajib disini hanya kepada mereka yang berkemampuan untuk diagihkan kepada orang-orang fakir dan miskin mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Islam. Dinamakan zakat kerana pengeluaran harta itu dilakukan agae mendapat keberkatan, pembersihan jiwa dan juga pengembanggannya dengan berbagai-bagai amalan kebaikan.

Firman Allah S.W.T:
Ertinya:
“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya Engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan ingatlah Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (At-Taubah: 103)

Zakat dan sedekah boleh menjadi pembersih jiwa kepada seseorang apabila terealisasinya dua syarat iaitu:

i.          Menjauhi riak, berbangga-bangga, dan mengungkit pemberian kepada orang fakir.
Orang yang bersedekah dan mengeluarkan zakat sepatutnya perlu menjauhi dan mengawasi diri agar tidak diresapi oleh perasaan riak dan berbangga diri de ngan amalan yang telah dilakukan. Dia perlu menyedari bahwa dia kan berdiri di hadapan Allah S.W.T pada hari kiamat kelak dan akan ditanya tentang sedekah yang dikeluarkannya samada dengan ikhlas ataupun tidak.           

            ii.         Membelanjakan harta yang dikasihi dalam keadaan redha.
Kebaikan tidak akan diperolehi melainkan dengan cara seseorang itu mengorbankan hartanya yang paling dikasihi dengan penuh rasa redha dan bukannya benci. Secara tidak langsung, hati akan terdidik untuk sentiasa bersyukur dengan segala nikmat rezeki yang telah Allah S.W.T kurniakan kepadanya. Secara tidak langsung juga ia dapat membebaskan diri manusia daripada sifat yang mazmumah seperti perhambaan diri manusia kepada harta benda, sifat kedekut dan bakhil dan jua sifat kasihkan diri sendiri sahaja. Dalam proses pembersihan jiwa kita dapat lihat, dengan adanya elemen-elemen seperti ini maka kita telahpun melaksanakan proses takalli iaitu membuang perkara-perkara atau sifat-sifat mazmumah tercela yang ada dalam diri manusia.

Firman Allah S.W.T:
Ertinya:
“Kamu tidak akan sesekali dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Ali-Imran: 92)

c) Puasa

            Puasa juga merupakan salah satu ibadah yang terkandung di dalamnya unsur-unsur dinamik yang boleh dilihat secara halus dan tersirat. Allah S.W.T menfardhukan ibadah puasa kepada umat Islam dan menjadikannya sebagai salah satu  daripada rukun Islam yang lima.

Firman Allah S.W.T:
Ertinya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)
Menurut Iman Fakhr al- Razi, Allah S.W.T menjelaskan puasa  boleh mewariskan sifat takwa kerana ia mengandungi pengekangan syahwat dan pengawalan hawa nafsu. Pengekangan dan pengawalan nafus dapat mengelakkan diri daripada kejahatan, kesombongan dan berbagai-bagai perkara keji, malah akan melahirkan perasaan betapa tidak kekalnya keseronokan duniawi. [6]
(Al-Fakhr al-Razi, Tafir al Fakhr al-Razi, jil.5, hlm.76)

Ibadah puasa dilihat sebagai salah satu cara yang sangat penting bagi membersihkan jiwa dan menjauhkan diri daripada penguasaan dan cengkaman syahwat.
Al-Qardhawi dalam kitabnya al-Ibadah menyebut, ibadah puasa merupakan cara yang agung bagi membersihkan jiwa dan menjauhkannya daripada penguasaan dan cengkaman nafsu syahwat. Jika ibadah puasa yang melibatkan penahanan diri daripada makan dan minum dari segi zahirnya dilihat sebagai sesuatu yang negative,, namun dari segi hakikatnya ia merupakan amalan yang positif yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam  neraca timbangan hamba dan penerimaan disisi Allah S.W.T.[7]
(Al-Qardhawi, al-Ibadah, hlm. 271)

Dari segi kemampuan untuk membersihkan jiwa, ibadah puasa tidak tertumpu hanya pada puasa di bulan Ramadhan yang sememangnya telah diwajibkan ke atas umat Islam, namun jua ianya melibatkan puasa-puasa sunat yang lain. Puasa merupakan satu ibadah yang dapat mendidik jiwa dan melonjakkan diri ke mercu ketinggian takwa.
            Puasa juga dilihat mampu mengendurkan sifat-sifat tercela kebinatangan yang terdapat pada diri amnesia. Sifat kebinatangan tertumpu kepada makan,minum dan hubungan seks. Apabila manusia  dapat mengawal hawa nafsu, bermakna Berjaya membersihkan hati dan rohnya dari sifat kebuasan sifat kebinatangan  yang menggila dan dengan itui dia berda dekat dengan Allah S.W.T.

Ibadah puasa yang dilakukan yang benar-benar dapat membersihkan jiwa mestilah memenuhi syarat-syarat seperti:
            i.          Dilakukan dengan penuh keimanan dan harapan kepada Allah S.W.T.[8]
                        Hadis Nabi S.A.W:
                        Ertinya:
                        “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan harapan mendapatkan ganjaran daripada Allah, diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Al-Bukhari, Bab Sawm Ramadhan Ihtisaban Mina al-Iman, hadis no:37)

Sehubungan dengan itu, hanya mereka yang merasakan kemanisan melakukan ibadah puasa sahaja, dengan keikhlasan hati dan untuk mendapatkan ganjaran daripadanya sahaja, bakal meraih hasil puasa dan menikmati kelebihan-kelebihannya. Puasa bagi mereka yang tiada rasa kemanisan itu tiadak akan bertibdak sebagai madrasah intensif bagi bermujahadah nafsu dan membersihkannya, kerana orang yang berpuasa itu tidak melakukan apa-apa perubahan dalam dirinya selain daripada makan sahaja, bahkan masa di siang harinya hanya memikirkan keduniaan semata-mata.

            ii.         Menjauhi maksiat
Puasa yang dilakukan dan disertakan dengan perkara-perkara maksiat, sesungguhnya puasa yang dilakuakan itu adalah puasa yang sia-sia. Tidak mampu untuk mengubah dan membersihkan jiwa kerana terlalu jauh daripada perintah Allah S.W.T.

Rangkumannya, ibadah puasa yang dilaksanakan dengan penuh khusyuk, tawaduk dan mengharapkan ganjaran daripadaNya pasti akan dapat membersihkan jiwa manusia yang sedang bermujahadah nafsu. Di setiap ibadah yang dilakukan sebenarnya ada elemen-elemen yang mampu membersihkan hati manusia, mendidiknya dengan sifat-sifat mahmudah dan kahirnya secara tidak langsung pembinaan dan pembentukan akhlak mulia dalam jiwa dan diri manusia akan dapat tercapai. Roh Islami yang ada dalam jiwa individu Muslim itu akan dapat kembali kepada mengenal Tuhannya yang satu iaitu Allah S.W.T.

Kesimpulan
            Dalam setiap ibadah yang dilaksanakan adanya unsur-unsur dinamik yang terkandung didalam setiap ibadah tersebut seperti yang telah dijelaskan dalam huraian diatas, dan apa yang terkandung diatas adalah antara ibadah-ibadah utama yang diwajibkan keatas seorang individu Muslim yang mukallaf, tahu menilai mana baik dan mana buruknya sesuatu amalan itu.
            Disetiap pergerakan dan ibadah yang dilakukan itu adanya unsur-unsur untuk membersihkan jiwa dan hati manusia daripa jangkita-jangkitan penyakit hati yang boleh menganggu gugat kualiti iman dan ibadah yang dilakukan kepada Allah S.W.T. Secara ringkasnya, daripada apa yang telah dihuraikan diatas, pembersihan jiwa adalah suatu proses membersihkan jiwa daripada dorongan yang menyeru kepada kejahatan dan dosa dan mengembangkan fitrah kebaikan yang ada dalam diri Mulim sehingga membawa kepada istiqamah dalam melaksanakan segala yang diperintahkan oleh Allah S.W.T dan meninggalkan segala yang telah dilarang olehNya. Dan juga mencapai darjat ihsan. Ia juga mendorong jiwa ke arah kesempurnaan iman, berakhlak dengan akhlak Rasulullah, mengikut sifat-sifat baginda yang zahir mahupun batib dan segala aspek  keimanan yang disarankan oleh Nabi S.A.W.
Dan disetiap ap yang telah dibincangkan diatas telahpun disertakan dengan hujah-hujahnya, dimana setiap yang diatas itu adalah antara kaedah uslub amali dalam pembersihan jiwa yang mana ianya merupakan amalan-malan ibadah yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam seperti solat, sedekah dan zakat, dan jua puasa.[9]

Sabda Rasulullah S.A.W:
Ertinya:
“Tiga perkara sesiapa yang melakukannya akan merasai kemanisan iman. Sesiapa yanag menyembah Allah Azza Wajalla dalam keadaan yakin tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, mengeluarkan zakat hartanya dengan hati yang lapang setiap tahun dan tidak mengeluarkan yang binatang tua, kotor dan sakit, tetapi mengeluarkannya dari harta anda yang pertengahan. Sesungguhnya Allah tidak meminta anda mengeluarkannya yang terlalu baik dan tidak pula yang terlalu buruk dan membersihkan dirinya. Seorang lelaki berkata: Apakah itu pembersihan jiwa? Sabda baginda: Dia mengetahui Allah S.W.T itu sentiasa bersama dengannya dimana sahaja dia berada.”
(Al-Tabrani, al-Mu’jam al-Saghir jil. 1, hlm. 201, al-Baihaqi, al-Sunan, jil.4, hlm. 95 dan disahihkan oleh Al-Albani dalam silsilah al-Ahadis al-Sahihah, hadis no:1046)

Wallahua’lam.



[1] Al-Bukhari, Bab Qawlu al-Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Latatba’unna Sunana Man Kana Qabalakum, hadis no: 6775
[2] Ghazali Darusalam, Dinamika Ilmu Akhlak Islamiah; m/s 10-11
[3] Nabil hamid al-Ma’az, Tazkiyah al-Nufus, jil.1, hlm.12
[4] Prof Madya Dr. Basri bin Ibrahim Al-Hasani Al- Azhari et al, Pembersihan Jiwa, hlm. 496
[5] Ibn Taimiyyah, al-Iman, hlm. 24
[6] Al-Fakhr al-Razi, Tafir al Fakhr al-Razi, jil.5, hlm.76
[7] Al-Qardhawi, al-Ibadah, hlm. 271
[8] Al-Bukhari, Bab Sawm Ramadhan Ihtisaban Mina al-Iman, hadis no:37
[9] Al-Tabrani, al-Mu’jam al-Saghir jil. 1, hlm. 201, al-Baihaqi, al-Sunan, jil.4, hlm. 95 dan disahihkan oleh Al-Albani dalam silsilah al-Ahadis al-Sahihah, hadis no:1046

Saturday, 20 April 2013

::Penangan Cinta::


Salam bicara kepada semua...sudah lama rasanya saya tidak menukilkan sesuatu untuk kalian semua. Nukilan saya yang terakhir untuk anda semua kiranya sudah hampir sebulan tidak saya updates...bukannya apa sibuk nak hadapi final exam untuk semester satu di bumi permata Kolej matrikulasi perlis, pastinya itu bukannya suatu tugasan yang mudah bagi saya. Semua inginkan kejayaan termasuklah saya...namun kejayaan yang ingin dicapai itu orang kata biarlah dari hasil usaha perahan keringat kita sendiri...sepanjang study week di kolej...banyak perubahan yang saya nampak pada couple-couple di sana...terutamanya seorang kawan saya sendiri yang kini sedang bercouple...terkejut beruk saya katakan apabila melihat dia sampai sanggup bangun pagi jam 6.00 pagi (sesuatu yang tidak mungkin dia lakukan pada hari-hari biasa) semata-mata nak temankan awek dia ke library...untuk belajar bersama...ye..itu suatu perkembangan yang baik....namun lebih baik kiranya usaha itu dilakukan sebelum peperiksaan semester program matrikulasi berlangsung. Dan yang amat terkilannya...dia bukan nya study tapi...bercouple sampai tak ingat dunia..yang jantannya duk tergesel-gesel kakinya kat yang betina...ingatkan yang betina tu nak marah..yang ado..rupanya yang betina tu boleh pula layan jer apa yang jantan tu buat..yelah tak dinafikan...cinta boleh buat semua orang sanggup lakukan apa sahaja untuk pastikan kita mendapat kepuasan nafsu yang dinyalakan oleh bisikan syaitan.

Betapa besarnya penangan cinta di sini. Bagaimana kiranya nanti pabila dah masuk universiti nanati..pastinya penangan itu lebih teruk, dan tidak keterlaluan jika saya katakan sampai boleh bunting budak perempuan tu...maaflah kiranya perkataan yang saya gunakan untuk nukilan kali ini agak kasar tetapi itulah hakikatnya...dunia sekarang sudah berubah...dah nak kiamat dah...tanda-tanda kecilnya sudak banyak...hanya menantikan tanda-tanda besarnya pula... yang perempuan dengan aurat terserlah, ops...maaf kat sini bukan sahaja perempuan yang tidak menutup aurat tetapi lelaki juga turut serta tak tutup aurat. Maaf untuk saya bertanya kepada mereka yang tidak menutup aurat kat luar sana??? sayang kah anda pada ayah anda yang telah banyak bersusah payah untuk anda??? membesarkan anda???menghantar anda kesekolah??? jika jawapannya ya...rasanya anda patut bertanya sekali lagi pada diri anda...renungkan sedalam-dalamnya apa yang anda dah buat selama ini...anda tidak menutup aurat...tahukah anda dosa orang yang tidak menutup aurat dosanya mengalir daripada anda hingga ke ayah anda juga. Anda ingin melihat orang yang sudah banyak berkorban untuk anda masuk kedalam gaung api yang panas..api neraka semata-mata kerana dosa yang anda sendiri lakukan...ayah anda yang pada hari tua nya bersusah payah untuk menambah pahala tapi tanpa dia sedar...anda pula ingin humban dia kedalam api neraka.

Malang sungguh nasib bapa yang mempunyai anak seperti anda. Hmm...mungkin semuanya adalah disebabkan oleh hasutan syaitan...kan syaitan dan iblis dah berjanji untuk menyesatkan manusia..umat Nabi Adam hingalah hari yang tiada gunanya anak pinak dan harta benda melainkan mereka yang datang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera. Sedikit nukilan yang saya petik daripada surat khabar Harakah keluaran 5-7 november 2010. sebenarnya artikel tu amat menarik perhatian saya untuk membacanya. Bismillahirrahmanirahim...tajuk artikel tu Empayar Iblis Raya.

Aku berlindung dengan nama Allah daripada syaitan yang direjam. Iblis Azazil nekad untuk menjadi penderkaha, lalu dia meminta supaya Allah SWT panjangkan unurnya hinga ke hari kiamat iaitu selagi wujudnya manusia.
Dia (iblis) berkata (al Israk:62): “Terangkan kepadaku inikah orang yang Engkau muliakan atas diriku? Sesungguhnya jika engkau memberi tangguh kepadaku sampai hari kiamat, nescaya benar-benar akan aku sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil.”

Jadi benarlah apa yang telah dikatakan selama ini...semuanya angkara iblis laknatullah...jadi kita sebagai manusia sentiasa beringatlah bahawa syaitan dan iblis sentiasa akan gunakan apa cara sekalipun untuk menyesatkan umat manusia. Sedarlah jika bukan kita yang mengubah diri ini untuk kita sentiasa berada di jalan yang benar, jalan yang diredhai oleh Allah, bukannya jalan yang dimurkai olehNya siapa lagi. Sentiasa bersabarlah di atas setiap ujian yang diberikan oleh Allah kerana sesungguhnya Allah tidak akan menguji hambanya jika kita tidak mampu untuk menghadapi ujian tersebut. Kekadang manusia lupa bahawa sesungguhnya Allah menguji manusia kerana Allah sayangkan hambanya. Jangan kita sesekali berburuk sangka dengan Allah.Sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat. Kembalilah ke pangkal jalan, litupilah diri anda dengan pahala bukannya dengan dosa maksiat. Sesunnguhnya yang baik itu datangnya daripada Allah, dan yang buruk itu adalah kelemahan diri saya sendiri yang disandarkan kepada saya, dan segalanya datang daripada Allah jua. Saya sesungguhnya saudara kamu dalam agama Allah, agama yang benar, agama Islam.Wallahualam.

#petikan notes dlam FB ana#alhamdulillah#

.::Kerana Syurga Itu Manis::.


Bismillahirrahmaanirahim,,,

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah.Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam(dengan perantaraan tulisan dan bacaan). Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. [surah al-'Alaq(Segumpal Darah),ayat 1-5]

Alhamdulillah,,,syukur ke hadrat Allah S.W.T kerna atas berkat dan rahmat daripadaNya,,mampu lagi untuk diri ini menukilkan sesuatu buat sahabat yang amat2 insan kamil ini sayangi. Allahurobbi,,, :(

Diri ini mungkin pada pandangan kalian,berbagai-bagai persepsi yang mungkin kalian telah sematkan mengenai diri ini tetapi semua itu tidak penting. Diri ini dengan rendah diri mengetahui dan menyedari bahawa diri ini sememangnya mempunyai banyak kelemahan,kekurangan dan cacat cela. Diri i ni bukanlah orang yang terbaik untuk menjadi dijadikan contoh dan teladan.Mungkin terlampau banyak perkara yang diri ini ungkapkan dan tuliskan tidak dibuktikan pada perbuatan dan amalan.

Sahabat,
Ketahuilah
tidak pernah terlintas dihatiku untuk membuat sesuatu yang mampu untuk menyakiti hati kalian, cuma kadangkala diri ini terlalu mengikut emosi dan nafsu dalam melakukan sesuatu perkara yakni dalam tindakanku. Untuk itu mulanya kalam berbicara ingin sekali diri ini memohon ampun dan maaf sekali lagi untuk kekhilafan silam yang diri ini, insan kerdil ini lakukan pada kalian. 

Sahabat,
Ketahuilah, diri ini sangat merindui saat kita sama belajar dulu, pergi ke kelas sama-sama, makan sama-sama, entah mengapa,, semua itu begitu mudah hilang dalam diri kalian,
Mungkinkah sudah hilang atau luput nama sahabat ini dalam terowong minda sahabat-sahabat,
Ya Allah, hanya tuhan yang tahu segala isi hatinya.
Terima kasih sahabatku untuk segalanya. Memang benar kata hatiku, kau hanya tetamu hatiku yang datang dan pergi begitu sahaja.
Maaf andai kata aku tersilap mencongak pada nilai kejujuran dan berterus terang. Sesungguhnya kau lah sahabat yang menunjuk jalan padaku tanpa sedarmu. Duhai sahabatku, dunia kita memang berbeza tetapi hidup kita seakan sama.

Sahabat, 
tidak banyak yang ingin aku katakan,
Aku tahu sepanjang persahabatan kita, kita sudah melalui pelbagai pahit manis dan suka duka bersama. Tidak dapat tidak terbitnya suatu jurang  dalam persahabatan kerana ukhwah itu sentiasa diuji. Maafkan aku wahai sahabat. Aku tahu aku cuba larikan diri dari masalah ini. Dan aku tahu Allah sedang menguji persahabatan kita. Aku lari dan terus lari dari masalah. Tanpa aku sedari, semakin hari masalah ini semakin rumit dan membuatkan aku semakin sakit. Lalu aku berfikir, apakah sebenarnya yang Allah cuba berikan padaku. Lama – kelamaan aku mengerti duhai sahabat. Masalah ini adalah masalah kita bersama. Masalah dalam ukhwah. Memang ramai pandai bercakap pasal ukhwah tapi adakah kita mengerti makna disebalik ukhwah itu sendiri? Sahabatku, terimalah apa yang ingin aku katakan ini padamu dengan hati terbuka..

Sahabat,
aku terlalu merindui saat-saat kita yang dahulu,
aku takut kehilanganmu sahabat,
andai sudah hilang diriku dalam hidupmu,
kuredhai setiap ketentuannya, namun ingatlah sentiasa kenangan kita,
andai kita bertemu lagi, janganlah kau kenang perkara yang tidak baik tentang aku tetapi kenanglah perkara yang indah tentang kita. Apabila kita mulakan hidup baru, itu tidak bermakna memori lama akan terhapus tetapi ianya akan menjadi sebahagian kehidupan kita yang hakiki. Hakikat sebuah pertemuan yang manis dan akan kekal begitu.

Sahabat,
ku tinggalkan warkah ini dengan "Warkah Buat Teman"
~Hari tu kita jalan sekali
Seronokkan jalan sambil begurau?
Lagi seronok bila awak bagi hadiah tu
Itulah hadiah yang tak boleh saya lupa
Senyum manis awak
Esok, bila saya dah tak boleh jalan
Saya nak awak iringi saya
Masa ni saya dah tak boleh nak panggil awak
Macam selalu
Awak yang kena datang
Masa ni saya nak hadiah lagi
Tapi saya dah tak nak senyum
Saya nak awak tolong hadiahkan Al-Fatihah
Awak tolong bacakan untuk saya, ya
Sebab saya dah tak boleh nak baca sendiri
Lepas tu, bila ada orang tanam saya dalam tanah
Awak jangan nangis cari saya tau
Sebab saya dah tak boleh nak tengok awak~

[p/s]:
Apabila kau memandang segalanya dari Tuhanmu, Yang Maha Mencipta segalanya, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakitnya hatimu, membuatkan keinginanmu terhalang, serta menyusahkan hidupmu..pasti akan damailah hatimu kerana masakan Allah sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia2. Bukan Allah tidak tahu deritanya hidupmu, retaknya hatimu, tapi ketahuilah. Itulah yang Dia mahukan kerana Dia tahu bahawa hati yang begini selalunya lebih lunak, mudah untuk dekat & akrab padaNya.

Jika semalam jalan yang kita tempuhi terasa sukar, namun kita berjaya melaluinya dengan pertolongan Allah. Jika kita rasakan jalan hari ini terlalu sukar ditempuh, yakinlah Allah bersama kita ketika ini. Jika esok kita lihat jalan penuh duri, percayalah Allah & pertolonganNya juga akan bersama dengan kita esok.

Selangkah ke alam perjuangan, bererti selamanya dalam kepahitan. Biarlah menangis, terluka, kecewa dan ditinggalkan kerana Allah daripada mati terkambus tanpa mujahadah. Kita tidak sanggup selamanya terluka. Tapi ingatlah setiap titisan darah dari luka dan air mata adalah MAHAR kita ke syurga. Jika ditanya, "mengapa berjuang itu pahit?" Jawabnya, "kerana SYURGA itu manis".